Malang! Sokong DAESH kena, sokong LTTE lepas

- Advertisement -

TIGA hari lepas, sedih dan simpati membaca berita seorang penjual cendol dijatuhi hukuman penjara 16 tahun oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah atas sembilan pertuduhan, antaranya memiliki dan mengedar barangan berkaitan pengganas DAESH serta memberi sokongan kepada kumpulan itu, empat tahun lepas.

Terlibat mengangkat senjata tidak ada lagi, cuma sokong dan edar. Itupun hanya kepada tiga orang sahaja. Nasib seorang penjual cendol. Kita hormati keputusan mahkamah, tetapi bagaimana dengan mereka yang sudah jelas terbukti menyokong, edar dan terlibat dengan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE)? Mana lebih bahaya antara LTTE dengan DAESH. LTTE jauh lebih bahaya. Katakanlah sama bahaya dengan DAESH, kenapa tidak didakwa langsung.

- Advertisement -

Ketika dakwaan LTTE dibuat tahun lepas, bukan main lagi pemimpin ultra kiasu bising, kenapa kena pada orang Islam, semuanya senyap membisu. Bekas Peguam Negara, Tommy Thomas yang menjadi Peguam Negara ketika itu, langsung menggugurkan kes tersebut. Seolah-olah tidak ada salah langsung terlibat dengan LTTE. Takkan nak tunggu, berlaku keganasan, baharu bertindak. 

DAESH masih belum terbukti melakukan keganasan di Malaysia, tetapi LTTE, semakin nampak ketara. Tommy Thomas, dalam memoirnya yang baharu diterbitkan, mengaku dia tidak mendakwa Zakir Naik atas arahan Perdana Menteri (PM) dan lepaskan 12 suspek LTTE setelah dapat izin PM, ketika itu.

Dalam kes kematian pegawai Bomba, Adib dalam rusuhan kuil Hindu Subang Jaya, Tommy berkeras tidak mahu mendakwa suspek. Sedangkan Koroner Rofiah Mohd telah memutuskan kematian Adib adalah perbuatan jenayah yang dilakukan oleh dua atau tiga perusuh yang belum dikenali.

Di sinilah bahayanya apabila ultra kiasu memegang jawatan penting dalam kerajaan. Kita harap, khalayak dapat melihat kebobrokan ultra kiasu ini. Sehingga kini, tidak kira, ultra kiasu Islam atau tidak, semuanya senyap apabila tidak ada kepentingan politik mereka. Mereka hanya pentingkan undi ultra kiasu.

Apakah orang sebegini boleh diharapkan untuk memimpin negara tercinta ini. Selalunya begitulah, kena kepada mereka bising satu dunia, kena kepada orang Islam, senyap sepi. Saya merayu kepada kerajaan diterajui PN, berlaku adillah dalam pendakwaan dan penghakiman ini. Buka balik fail pendakwaan terhadap LTTE. LTTE tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.

Apakah kita sudah lupa kejadian yang berlaku pada tahun lepas? Pemimpin ultra kiasu secara langsung terlibat dan bersedia membela pengganas-pengganas ini. Kenapa tindakan ‘ala holocaust’ ke atas umat Islam di Sri Lanka oleh LTTE tidak pernah diketengahkan atau dibincangkan oleh ultra kiasu yang berwalakkan pertubuhan pengganas ini?

Begitulah cerdiknya ultra kiasu dalam politik licik mereka. Kena pada bangsa mereka, heboh satu dunia. Kena pada bangsa lain mereka diam. Apakah kita sudah lupa pada Ogos 1990, pembunuhan dilakukan ke atas Masjid Kattnakudy, dengan menyasarkan umat Islam Utara Sri Lanka, dianggarkan 172 terkorban ketika sedang kusyuk solat berjamaah.

Di daerah Jaffna pada Oktober 1987, umat Islam diberikan kata dua untuk meninggalkan wilayah tersebut. Jumlah penduduk Islam 14,844 di Jaffna telah diarah keluar dengan sehelai sepinggang, rumah-rumah mereka dirampas.

Kemuncak kekejaman LTTE terhadap umat Islam Sri Lanka sekitar tahun 1990-1991. Pada 30 Oktober 1990, detik hitam yang menimpa umat Islam, apabila LTTE yang menguasai wilayah di Utara, Semenanjung Jaffna, memberi kata dua kepada penduduk Muslim di situ, sama ada keluar dari kawasan itu atau dibunuh.

Perintah LTTE itu mesti dipatuhi dalam masa 24 hingga 48 jam. Sejarah mencatatkan hampir 90,000 penduduk umat Islam dihalau keluar daripada tanah airnya dalam masa dua jam. Kekejaman LTTE lebih dahsyat daripada Hitler.

Setengah sarjana menyifatkan, kekejaman LTTE merupakan pembersihan etnik paling cepat dan paling kejam dalam sejarah moden. Penduduk Islam diusir dalam masa dua jam, dengan alasan wilayah itu adalah tanah tumpah dan milik mutlak masyarakat Tamil. Persoalannya, benarkah bahagian Utara itu milik mutlak orang Tamil?

Pendapat ini selari dengan penyokong LTTE di negara ini, ultra kiasu yang berkata Tanah Melayu adalah tanah Hindu, milik orang Hindu. Renung-renungkan. Persoalannya, kenapa puak Tamil atau LTTE ini begitu memusuhi umat Islam? Pertama, LTTE mahu menjadikan wilayah Utara milik mutlak mereka. Tidak ada orang lain boleh tinggal di sana melainkan orang Tamil.

Kedua, dari sudut ekonomi, kejayaan dan kelebihan yang dicapai oleh umat Islam di Sri Lanka jauh meninggalkan orang Tamil, begitu tidak disenangi oleh LTTE.

Ketiga, daripada sudut politik, umat Islam Sri Lanka turut menyaksikan parti politik Muslim memegang status sebagai undi penentu kerajaan yang memerintah Sri Lanka. Meskipun umat Islam di sana minoriti, tetapi pecahan kerusi dimenangi parti Islam di sana berperanan sebagai penentu penguasaan parti politik Sinhala di Parlimen.

Untuk makluman, Sri Lanka ada bumi kecil yang dihuni 20 juta penduduk dengan etnik Sinhala kumpulan majoriti sebanyak 74 peratus, Tamil (18 peratus) dan Muslim (8 peratus). 

Keempat, kebencian terhadap umat Islam dan kejayaan yang dicapai menimbulkan kemarahan LTTE terhadap umat Islam. Disebabkan oleh permusuhan dengan Kerajaan Sri Lanka dan umat Islam, sejarah membuktikan, LTTE telah melancarkan lebih 200 serangan bunuh diri dan mencetuskan perang saudara yang meragut lebih 70,000 nyawa. Operasi kejamnya tidak hanya berlalu di Sri Lanka, tetapi di luar Sri Lanka

Apakah kita sudah lupa dengan pembunuhan bekas Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi pada 1991 yang dilakukan oleh LTTE ketika Rajiv Gandhi berkempen di Tamil Nadu yang bagi menyokong Kerajaan Sri Lanka. Rajiv Gandhi begitu dimusuhi oleh LTTE.

Kita berasa amat hairan kenapa segelintir masyarakat India di negara kita begitu bersimpati dengan LTTE, sedang orang Tamil sudah menjadi warganegara Malaysia. Kenapa walak masih ke sana, sama seperti segelintir ultra kiasu Cina di sini yang berwalakkan Komunis di China. Misalnya, isu komik yang menjadi kontroversi baru-baru ini.

Sebab itu, sekali saya merayu, tatkala Tommy Thomas tidak lagi menjadi Peguam Negara, tangkap dan dakwa pemimpin ultra kiasu terbukti terlibat dengan LTTE. Parti politik ultra kiasu mesti diharamkan. Buktikan di mahkamah akan pembabitan mereka.

Meskipun LTTE telah menyerah kalah di Sri Lanka pada tahun 2009, itu bukan bermakna pertubuhan pengganas ini telah mati. Ia masih lagi subur dan hidup di sana dan di luar negara. Apakah pembunuhan Allahyarham saudara Mohd Adib, pegawai bomba yang terkorban dalam rusuhan kuil di Subang Jaya ada kaitan dengan pembunuhan mengikut modus operandi LTTE?

Menurut Mohamad Fikri Rosly (2009) menulis ketika konflik berakhir, LTTE sememangnya dikenali di dunia sebagai pertubuhan pengganas yang paling ganas dengan serangan berani mati yang lebih banyak jika dibandingkan dengan jumlah serangan serupa yang dilakukan Al-Qaeda, Pasukan Bersenjata Revolusi Colombia (FARC) dan beberapa organisasi pengganas yang lain.

LTTE ternyata kumpulan pengganas yang paling dahsyat kekuatannya kerana memiliki kapal selam buatan sendiri, beberapa kapal terbang kecil dan sedikit teknologi ketenteraan yang disumbangkan dari luar.

Difahamkan juga, masyarakat Tamil seluruh dunia, termasuk pemimpin ultra kiasu negara juga bukan setakat simpati, malah ada yang menghulurkan bantuan kepada LTTE yang kononnya ‘memperjuangkan’ penubuhan negara bagi etnik itu di Sri Lanka. Menurut kedutaan Sri Lanka, banyak bantuan disalurkan oleh orang Tamil di Malaysia kepada Tamil Eelam, sebelum gencatan senjata berlaku. Sebab itu, tidak mustahil sebahagian ultra kiasu negara ini turut memberikan sumbangan kepada LTTE sebagaimana yang telah dibuktikan oleh pihak polis yang telah membuat penangkapan.

Kesimpulan, jika mahu hidup aman, apa jua pertubuhan yang dikaitan dengan pengganas termasuk LTTE dan Komunis, ia mesti diharamkan. Sama seperti tindakan yang telah dibuat terhadap ISS, ISIS, Daesh dan sebagainya. Kerajaan ingatlah, berlaku adillah kerana Allah suka kepada umatnya yang berlaku adil. Seksaan Allah pasti menanti jika berlaku pilih kasih. Bila kena pada orang Islam, dihukum berat, kena pada orang lain, usahkan dihukum, dibebaskan lagi. Masih terus menjadi wakil rakyat. Kita berwakilrakyatkan pengganas rupanya.

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH – HARAKAHDAILY 6/2/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -