Hanya pemerintahan Islam dapat beri keadilan sebenar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keadilan dan kezaliman akan bersilih ganti, namun tanggungjawab memakmurkan muka bumi hanya akan terlaksana dengan konsep keadilan yang telah disempurnakan peninggalannya oleh Nabi Muhammad S.A.W.

Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim menegaskan, hanya sistem Islam yang membawa proses dan mewarnai generasi kepada peranan menegakkan keadilan kerana adanya tanggungjawab kepada akhirat.

- Advertisement -

Beliau mengulas demikian ketika mengupas buku Islam Adil Untuk Semua tulisan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam Webinar Keadilan Islam anjuran Pustaka Permata Ummah, semalam. 

Jelasnya, fitrah manusia sangat mencintai keadilan dan Allah S.W.T mendedahkan dalam al-Quran terhadap propaganda keadilan palsu dilakukan manusia zalim seperti Firaun dan Namrud yang mengaku pemerintah adil.

Demikian itu terangnya, hanya pemerintahan Islam dapat menegakkan keadilan sebagaimana Imam al-Mawardi menggariskan enam perkara penting mesti ada untuk memperelokkan dunia.

Iaitulah bentangnya, agama mesti diikuti; kerajaan yang berkuasa; keadilan menyeluruh; keamanan kepada semua; kesejahteraan berterusan; dan cita-cita atau harapan yang jauh lagi luas.

Menurut beliau, pelaksanaan keadilan dalam pemerintahan Islam mesti dibawa dengan menolak diktator dan teokrasi; memahami siyasah syariah; adanya demokrasi; sumber perundangan; dan kehakiman.

Ustaz Hishamuddin yang juga ADUN Tepoh mengemukakan Adolf Hitler dan Idi Amin sebagai diktator masyhur di Jerman dan Uganda dengan kekuasaan kekal di tangan individu atau kekuasaan tentera.

“Kuasa tidak terhad, tidak terkawal. Boleh buat apa saja dan dia memiliki pelbagai kekuatan untuk pemerintahan yang dipegang. Mampu membunuh jutaan nyawa manusia.

“Kita dapat lihat kesan daripada kuasa pemerintahan yang berpusat kepada diri dan tidak ada pihak yang boleh menentang ataupun untuk mengalahkan kekuatan ataupun pengaruh kuasa ini,” ujarnya memperinci lagi hal tersebut.

Manakala teokrasi pula hurainya, sistem politik pemerintahan berpegang kepada kononnya menjadi wakil Tuhan di mana segala keputusan mesti didengar dan ditaati oleh seluruh rakyat jelata.

Model ini katanya, suatu ketika dahulu muncul di Eropah dipelopori oleh ramai daripada kalangan paderi-paderi yang menguasai pemerintahan sehinggalah berlaku rombakan setelah terjadi kebangkitan rakyat. 

Pegawai Tugas Khas Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama) di Jabatan Perdana Menteri, Ustaz Nushi Dato’ Dr Mahfodz turut mengupas tajuk ‘Keadilan Islam Dalam Politik Kenegaraan’ pada webinar ini.

Tegas beliau, keadilan Islam dalam politik telah ditunjukkan modelnya oleh Nabi Muhammad S.A.W di mana dimulakan dengan akidah terlebih dahulu diikuti perkara lain pada keseluruhannya.

Sedangkan katanya, kefahaman sosiologi kebanyakan masyarakat mengenai keadilan hanya kepada erti kesaksamaan yang diajarkan dalam pemahaman Barat hingga perkara bercanggah syariah juga boleh dibahaskan sebagai hak.

Semua itu ujar beliau, disebabkan oleh jarum pemikiran Liberalisme dan Pluralisme yang masuk dalam masyarakat hingga Islam dilihat dengan momokan Islamophobia, negatif dan merbahaya.

Apatah lagi kupasnya, apabila disebut keadilan pemerintahan di mana masyarakat hanya melihat aspek tadbir urus, sedangkan Islam mengajar adil itu dari kesempurnaan batang tubuh manusia dan fitrahnya.

Beliau memberi contoh penolakan politik dari Islam dan kekeliruan seperti ungkapan kata bahawa non-Muslim berintegriti lebih baik daripada Muslim yang tidak berintegriti, sedangkan keimanan lebih utama dari budiman.

Pelbagai kayu ukur Islamik daripada kaca mata Barat juga sanggah beliau, tidak memberi keadilan sebenar di mana semua kriteria yang ada meninggalkan akidah sebagai paling utama bagi orang Islam. – HARAKAHDAILY 24/1/2021

- Advertisement -