Darurat bukan masa berbalah jawatan Perdana Menteri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perbalahan untuk mendapatkan jawatan Perdana Menteri dan meraih sokongan ketika negara sedang menghadapi darurat ketika ini adalah tindakan mengarut dan tidak peka dengan wabak COVID-19 sedang menimpa kini.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata, perkara tersebut tidak patut berlaku pada masa ini dan perlu ditolak kerana boleh mengganggu kerja menghadapi darurat di mana mesti ditangani dengan peraturan tegas.

Penegasan tersebut diungkap beliau dalam Webinar Isu Semasa bertajuk ‘Proklamasi Darurat: Apakah Satu Keperluan’ anjuran Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), sebentar tadi.

- Advertisement -

Darurat terangnya, bermakna perkara yang mendatangkan kesusahan, tidak disangka dan menyebabkan terancamnya rukun-rukun hidup manusia yang asasi iaitulah agama, nyawa, akal, keturunan, maruah dan harta.

Beliau mengemukakan penjelasan betapa dalam keadaan darurat itu, Allah S.W.T mengizinkan batas halal dan haram diketepikan untuk dilaksanakan sesuatu keterpaksaan menurut kadar berpatutan.

Hal tersebut kupasnya, memunculkan hukum fekah betapa keadaan darurat menghalalkan perkara yang diharamkan apatah lagi ia berkait memelihara nyawa, maruah, keturunan dan harta.

“Kita menghadapi darurat kesihatan, pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia. Tak jumpa vaksin yang mencegah secara konsisten, masih dalam kajian. Merebak seluruh dunia, memakan korban yang besar, tak boleh disekat. 

“Apa lagi dalam dunia langit terbuka, dunia tanpa sempadan. Yang berlaku pada hari ini kita mendapat maklumat dari seluruh pelosok dunia, dalam masa yang sama hubungan manusia yang begitu canggih, cepat bergaul antara satu sama lain.

“(Maka) bagi mencegah darurat ini berlaku, kerajaan diizinkan mengisytiharkan darurat meletakkan undang-undang yang tertentu bagi mencegah,” jelas beliau terhadap kewajaran Proklamasi Darurat diisytihar Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, dalam situasi ketika ini keburukan yakni penularan COVID-19 sudahpun berlaku di mana mudarat tersebut menuntut kerajaan menanganinya, namun setelah beberapa bulan tidak dapat membendungnya, maka darurat perlu diisytiharkan.

Tegasnya, kerajaan perlu mengisytiharkan darurat untuk mengerah segala tenaga yang ada bagi mengatasi wabak ini dalam menyelamatkan nyawa manusia daripada menjadi korban.

“Tidak harus melakukan perkara yang memudarat dan memberi mudarat kepada orang lain,” ujarnya memetik Hadis ini yang menjadi asas ketika menghadapi taun Amwas di Syam semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab.

Menerangkan lebih dalam, beliau menjelaskan perlunya tindakan dalam membendung mudarat serta-merta adalah seperti menangani kejadian kebakaran yang menuntut kesegeraan.

Di mana dalam melaksanakannya kata beliau, adanya Fiqh Muwazanat atau fekah pertimbangan serta menentukan perkara mu’ajjal yang disegerakan atau boleh ditanggunhkan kerana keperluan darurat diisytiharkan.

“Bagaimana nak menilai darurat itu, nak tamatkan darurat, itu boleh dibincang. Dalam keadaan tergesa-gesa, yang haram boleh jadi halal. Bertindak buat undang-undang apa saja, nak sekat, nak cegah wabak berlaku, serta merta, apa sahaja undang-undang, sama ada tindakan, larangan, cegahan. 

“Kalau tak cukup sumber, kerajaan boleh ambil disebut dalam proklamasi darurat itu boleh ambil bangunan, boleh ambil segala alat walaupun tuan dia tak bagi, boleh ambil kerana nak hadapi masalah ini. 

“Lepas itu ganti, bagaimana nak ganti ini boleh bincang. Nak ambil tak sempat nak bincang, itu sebagai contoh. Nak ganti berapa nilai harga dia itu boleh mesyuarat. Ini semua ada dalam proklamasi darurat itu. 

“Perkara yang tak patut kita buat pada masa ini berbalah siapa nak jadi Perdana Menteri, nak lantik siapa Perdana Menteri, suasana begini nak bahas berkenaan itu, nak cukup undi Parlimen, ini semua kerja-kerja mengarut, tak peka dengan wabak yang menimpa rakyat.

“Ini mesti ditolak, dicegah apa saja langkah-langkah yang boleh mengganggu kerja menghadapi darurat ini mesti ditangani dengan peraturan yang tegas,” peringat beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Kata beliau juga, dengan semua panduan ditunjuk Islam dalam menangani situasi yang berlaku, umat tidak ada sebab untuk ragu, syak atau was-was kerana kerangka menghadapi darurat telah dipandukan Allah dan menjadi tanggungjawab kerajaan. – HARAKAHDAILY 24/1/2021

- Advertisement -