Kemudahan kesihatan bertahan dua bulan

Dr Zaini meninjau penempatan pesakit Covid-19 di Putik.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan menjangkakan kemudahan kesihatan dapat bertahan selama dua bulan jika kes positif Covid-19 terus meningkat.

Pengarahnya, Dato’ Dr. Zaini Husin berkata, Kelantan menunjukkan trend meningkat sejak kebelakangan ini dengan mencatatkan lebih 100 kes sehari.

- Advertisement -

Beliau berkata, kadar kebolehjangkitan (R-naught) Covid-19 di Kelantan adalah 1.26, lebih tinggi berbanding bacaan sama ditunjuk pada peringkat kebangsaan 1.14.

“Jika kes di Kelantan menunjukkan peningkatan, kita bimbang kadar ini semakin meningkat akibatknya fasiliti kita tidak mampu peningkatan jumlah kes.

“Sekiranya situasi ini, peningkatan terus berlaku kemungkinan kemudahan kita hanya dapat bertahan dalam tempoh empat hingga lapan minggu sahaja,” katanya pada sidang media selepas program tautan kasih PKRC Kelantan Musaadah Covid-19 di PKRC Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di sini, hari ini.

Turut hadir menyerahkan sumbangan itu, Ahli Lembaga Pengarah Yadim merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Cempaka, Ustaz Ahmad Fathan Mahmood.

Yadim bersama Sukarelawan Yadim Kelantan, Gabungan NGO Hadapan Kelantan (Gohek) dan Misi Kembara Dakwah (MKD) menyerahkan sumbangan kepada empat PKRC di Kelantan.

Sehingga kini pihaknya mempunyai lapan hospital yang merawat kes positif dan empat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Dr Zaini menambah bagi mengatasi lambakan di PKRC, pihaknya juga melaksanakan kuarantin kendiri di rumah bagi pesakit kategori satu dan dua yang tidak berisiko.

Namun katanya beberapa kriteria perlu dipatuhi sebelum langkah itu dilaksanakan seperti tiada golongan rentan dan keadaan kediaman yang kondusif dan tidak sesak.

“Ini merupakan strategi kita untuk menempatkan pesakit Covid-19 dikuarantin di rumah jika tidak menepati syarat barulah pesakit ini dibawa PKRC.

“Hal ini juga untuk pastikan kemudahan kesihatan kita mencukupi, jadi PKRC ini diwujudkan, dari segi keperluan beberapa lokasi lain telah dikenal pasti,” katanya.

Sehingga 21 Januari lalu, seramai 248 pesakit ditempatkan di PKRC seluruh Kelantan selain menjalani kuarantin di rumah kebanyakannya tertumpu di Kota Bharu.

Manakala PKRC di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) seramai 84 pesakit, Jubli Perak MPKB-BRI (94), Dewan Sivik Gua Musang (52) dan di Putik (17). – HARAKAHDAILY 23/1/2021

- Advertisement -