Pusat kuarantin Putik suasana seperti di rumah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 17 pesakit Covid-19  ditempatkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) ketika ini.

PKRC itu mula beroperasi secara rasmi  semalam setelah Kelantan mencatatkan jumlah kes Covid-19 paling tinggi pernah direkodkan iaitu sebanyak 161 kes.

- Advertisement -

Pengarah PKRC negeri, Dr Azman Yakob berkata, jumlah pesakit mungkin akan bertambah bermula hari ini berikutan kes di negeri itu meningkat setiap hari.

Sambungnya, setakat ini pihaknya telah menyediakan sebanyak 120 buah katil.

“Bagaimanapun sekiranya berlaku kes di luar jangkaan ianya boleh menampung sehingga 180 buah katil untuk pesakit.

“Setakat ini seramai 17 pesakit ditempatkan di sini lima daripadanya adalah kanak-kanak bersama ibu bapanya,” ujarnya.

Beliau berkata, konsep PKRC di Putik agak berbeza kerana pihaknya memperkenalkan konsep feel at home supaya mereka merasakan seperti berada di rumah sendiri.

Jelasnya, pelbagai kemudahan disediakan di sini antaranya entertaimen, permainan selamat untuk kanak-kanak.

Tambahnya, selain itu  juga turut disediakan sudut bacaan supaya mereka mengunakan ruang sepanjang berada di situ pada perkara berfaedah.

“Tempat ini juga disediakan ruang solat, selain makanan lima kali sehari yang dibekalkan oleh catering yang terkenal di Kota Bharu,” ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, penubuhan PKRC itu mendapat kerjasama  kerajaan negeri, Pejabat SUK, NGO-NGO Islam dan bukan Islam.

Katanya lagi, PKRC itu yang ketiga bagi jajahan Kota Bharu dan keempat di Kelantan selepas Gua Musang.

Beliau memberitahu, bagi menjaga keselamatan pesakit dan keselamatan bangunan itu kawalan keselamatan diperketatkan.

Katanya, selain Polis Di Raja Malaysia, Rela dan pasukan keselamatan lain turut mengawal keselamatan sama ada di luar atau dalam kawasan Putik.

“Sebanyak 16 chanel CCTV dibekalkan oleh Pejabat SUK yang diletakkan di dalam dan luar kawasan Putik,”ujarnya.

Menurutnya, kawalan keselamatan begitu diperketatkan memandangkan  kawasan ini agak  terasing daripada kawasan perumahan.

Sementara itu, Dr Azman menerima sumbangan dari beberapa badan NGO untuk disumbangkan kepada frontliners dan pesakit di bawah prgoram Tautan Kasih PKRC Kelantan Musaadah Covid-19.

Sumbangan berkenaan antaranya dari  Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Sukarelawan YADIM Kelantan, Gabungan NGO Hadapan Kelantan (GOHEK) dan Misi Kembara Dakwah (MKD).

Turut hadir pada majlis itu Pengarah Kesihatan negeri, Dato’ Dr Zaini Husin, Adun Chempaka, Ustaz Ahmad Fathan dan Pengarah YADIM Kelantan, Ustaz Mahadi Awang. – HARAKAHDAILY 23/1/2021

- Advertisement -