PAAB baiki penyaluran air di Maahad Muhammadi

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) memperuntukkan sebanyak RM80,000 bagi membaiki sistem penyaluran air di Maahad Muhammadi Perempuan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Abdul Hadi Ali, ia melibatkan menaik taraf tangki air dan penggantian paip di bangunan sekolah serta asrama yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan akan datang.

- Advertisement -

Beliau berkata, masalah kekurangan air yang sering berlaku di Maahad Muhammadi Perempuan akan dapat di atasi apabila kerja baik pulih itu selesai.

“Kami berharap guru dan pelajar boleh menggunakan kemudahan bekalan air di sekolah berkenaan tanpa sebarang gangguan lagi selepas ini,” katanya pada kenyataan media di sini hari ini.

PAAB juga katanya, menyerahkan bantuan persekolahan yang berupa beg sekolah, botol minuman dan pelitup muka kepada 300 pelajar sekolah di Maahad Muhammadi Perempuan sebelum sesi persekolahan secara fizikal dibuka semula selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti.

Majlis Penyerahan Sumbangan Persekolahan PAAB Prihatin 2021 disempurnakan Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini. Turut hadir Pengurus PAAB Kelantan, Abdul Karim Mohd Zain dan Pengetua Maahad Muhammadi Perempuan, Ahmad Pakhruddin Deraman.

Sumbangan tersebut diharap dapat meringankan beban ibu bapa pelajar terbabit yang menghadapi masalah kewangan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan kesan penularan wabak Covid-19 sepanjang tahun lalu. – HARAKAHDAILY 23/1/2021

- Advertisement -