Projek kuari di HS Segari langgar syarat EIA

- Advertisement -

ISU kerosakan Hutan Simpan Segari Melintang, Manjung Perak ini melibatkan tindakan dan kerjasama antara tiga pihak iaitu Kerajaan Negeri Perak, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA) dan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Oleh yang demikian, pada 18, 19 dan 20 Januari 2021, pasukan penguatkuasa JAS Negeri Perak bersama-sama dengan Pejabat EXCO Alam Sekitar Negeri Perak dan Jabatan Perhutanan Negeri Perak telah ke tapak projek untuk menjalankan siasatan dan memantau pematuhan syarat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA). Pemantauan udara menggunakan dron telah dijalankan bagi melihat secara keseluruhan kawasan yang telah dibuka dan keadaan lokasi aduan.

- Advertisement -

Hasil siasatan mendapati kejadian yang berlaku disebabkan kegagalan menguruskan sisa-sisa kayu dan sisa tanah (overburden) dengan baik dan mengakibatkan overburden tersebut terjatuh masuk ke dalam sungai. Siasatan awal di tapak mendapati enam (6) ketidakpatuhan syarat kelulusan EIA telah dikenal pasti yang terutamanya melibatkan kerja-kerja tanah dijalankan tanpa mengikut pelan Land Disturbing-Pollution Prevention and Mitigation Measures (LD-P2M2) yang telah diluluskan. Pemaju juga telah gagal untuk memaklumkan JAS apabila kerja-kerja tanah dimulakan sepertimana yang dikehendaki dalam syarat-syarat kelulusan EIA.

Perintah Berhenti Kerja (PL) di bawah Seksyen 34AA, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah dikeluarkan pada 20 Januari 2021 bagi menghalang operator kuari beroperasi dan mengambil tindakan membaikpulih dilaksanakan dengan serta-merta seperti kawalan hakisan, kawalan air larian permukaan. kawalan sedimen, penstabilan cerun dan penyelenggaraan dengan segera.

Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah dikeluarkan kepada penggerak projek pada 19 Januari 2021 untuk mengambil tindakan membaikpulih termasuk kerja-kerja pengawasan kualiti air dan mengemukakan laporan kepada JAS Negeri Perak dalam tempoh yang ditetapkan.

Selain daripada itu juga, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga telah membuat siasatan dan mendapati gambar yang merujuk kepada kerosakan kepada Air Terjun Tanjung Batu (Teluk Sera) adalah kurang tepat dan mengelirukan. Air Terjun Tanjung Batu (Teluk Sera) masih berada dalam keadaan yang baik dan tiada kaitan dengan kawasan yang terjejas akibat aktiviti projek kuari berkenaan.

Saya mengingatkan semua penggerak projek, kontraktor dan pihak yang terlibat mematuhi semua syarat-syarat kelulusan EIA dan mengambil perhatian serius dalam mencegah pencemaran daripada aktiviti pembangunan. Saya menyeru orang ramai untuk melaporkan aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

 YB DATO’ SRI TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Menteri Alam Sekitar Dan Air
Putrajaya
22 Januari 2021 – HARAKAHDAILY 22/1/2021

- Advertisement -