Belanjawan 2021: Anggaran RM3.5 bilion untuk KASA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bakal menerima anggaran perbelanjaan berjumlah RM3,564,721,300 seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

Menteri KASA, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata daripada jumlah tersebut kementeriannya berupaya melaksanakan projek dan program kelestarian alam sekitar dan air.

- Advertisement -

Antara pendekatan yang diambil KASA adalah pengukuhan dasar dan pembangunan infrastruktur, pemberian insentif dan tindakan punitif.

“Bagi projek pengukuhan dasar dan pembangunan infrastruktur, meliputi projek jaminan bekalan air berkualiti antaranya projek penyaluran air mentah Tasik Biru ke Empangan Jus di Melaka dengan peruntukan sejumlah RM150 juta.

“Usaha-usaha peningkatan keberkesanan bekalan air akan terus diperkasakan melalui suntikan dana berjumlah RM295.2 juta bagi pelaksanaan Program Pengurangan NRW Nasional.

“Inisiatif ini mampu merealisasikan sasaran KASA mencapai sasaran 30 peratus NRW menjelang tahun 2025,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan malam tadi.

Selain itu, peruntukan berjumlah RM934.5 juta lagi akan digunakan untuk memastikan rakyat menerima akses perkhidmatan pembentungan yang lebih meluas dan berkualiti.

Manakala peruntukan RM20 juta akan disalurkan untuk menyokong inisiatif di bawah United Nations Sustainable Development Goals (SDG).

Turut diperuntukan RM10 juta untuk projek pembangunan fasiliti sisa bersepadu di Pulau melibatkan Johor dan Terengganu bagi membendung masalah pengurusan sisa sekali gus mengurangkan pencemaran di negeri berkenaan yang meliputi pulau-pulau peranginan.

Bagi program pemberian insentif kata Tuan Ibrahim, antaranya peruntukan khas disediakan kepada pemberi maklumat berkaitan salah laku yang memudaratkan alam sekitar.

KASA juga akan memperuntukan RM50 juta untuk menangani isu sampah dan sisa pepejal yang terperangkap di dalam sungai.

“Pemberian RM70 juta diberikan kepada kerajaan negeri sebagai insentif tambahan bagi tujuan ecological fiscal transfer secara tidak langsung akan dapat memastikan kawasan tadahan hujan kekal terpelihara,” kata Tuan Ibrahim.

Peruntukan sebanyak RM40 juta lagi untuk tindakan punitif seperti yang dicadangkan oleh Menteri Kewangan.

Katanya melalui peruntukan tersebut, dalam tempoh 5 tahun akan digunakan sebaiknya oleh KASA untuk meningkatkan aspek pemantauan bagi memastikan penjenayah alam sekitar dibawa ke muka pengadilan. – HARAKAHDAILY 7/11/2020

- Advertisement -