Malaysia Airlines rangkul tiga anugerah utama

KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) memulakan tahun ini dengan mencatatkan kejayaan hebat apabila syarikat penerbangan utamanya, Malaysia Airlines memenangi tiga anugerah utama di HR Excellence Awards 2020, yang diadakan secara maya baru-baru ini.

Malaysia Airlines merangkul dua anugerah emas bagi Pemimpin HR Terbaik (dimenangi oleh Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Malaysia Airlines Berhad, Datuk Mohd Khalis Abdul Rahim) dan Kecemerlangan Budaya Tempat Kerja; selain anugerah perak untuk Kecemerlangan Transformasi Digital.

Advertisement

Malaysia Airlines dalam satu kenyataan memetik Mohd Khalis sebagai berkata pencapaian berkenaan signifikan bagi kumpulan itu kerana ia menunjukkan peranan penting bahagian Modal Insan MAG.

“Lebih banyak inisiatif yang diterajui secara digital sedang dijalankan untuk tahun ini kerana kami terus mengembangkan saluran bakat kami dan mendorong pekerja kami untuk menggunakan metodologi yang baik dan tangkas untuk menyokong kelangsungan perniagaan jangka panjang kumpulan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pekerja MAG diperkasa untuk membuat perbezaan bagi menjadikan Malaysian Hospitality sebagai teras budaya MAG dan membawa nilai dan semangat melalui tindakan mereka dalam mendorong organisasi berprestasi tinggi yang diaktifkan oleh teknologi digital dan pemikiran berfokus kepada pelanggan.

Dalam keadaan pandemik COVID-19, MAG dapat mempercepat transformasi digitalnya dalam sekelip mata dan mengumpulkan tenaga kerja sebanyak 12,000 orang untuk menyesuaikan diri dengan cara kerja baru.

“Penganjuran pelbagai pembelajaran dan perkongsian persidangan serta webinar, digitalisasi proses manual dan memudahkan persekitaran pembelajaran dan pembangunan digital telah menyaksikan pekerja MAG merangkul era digital dan mengikuti perkembangan dunia,” katanya. – BERNAMA