LGBT: Bimbingan, pemerkasaan perundangan wajar dipuji

- Advertisement -

SAYA memuji tindakan proaktif yang dilaksanakan oleh kerajaan pada hari ini untuk menubuhkan Jawatankuasa Bertindak (Task Force) bagi menangani isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) dalam kalangan masyarakat beragama Islam di negara ini.

Penubuhan Task Force ini memberikan fokus yang khusus dan menyeluruh kepada usaha pengislahan dan bimbingan golongan LGBT selain turut meneliti aspek pemerkasaan Undang-undang Syariah melalui bentuk pindaan dan penambahbaikan. 

- Advertisement -

Kita sememangnya perlu pemerkasaan undang-undang sedia ada memandangkan aktivis dan ikon LGBT turut mempromosi gaya hidup toksik ini secara terbuka khususnya melalui platform media sosial.

Perlu difahami bahawa pemerkasaan undang-undang ini bukan bermaksud membuka ruang kebencian, bahkan ia perlu dilaksanakan dalam usaha untuk menghalang normalisasi LGBT daripada menjadi budaya dalam masyarakat kita sehingga boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan.

Kita perlu akui masih terdapat kelompongan dalam aspek perundangan yang ada pada hari ini. Perundangan semasa sewajarnya seiring dengan peredaran zaman serta pembangunan teknologi supaya penguatkuasaannya dapat dilakukan secara menyeluruh.

Saya menyokong penuh hasrat kerajaan untuk mempertimbangkan pindaan terhadap beberapa aspek perundangan yang dianggap sangat bersesuaian dengan situasi semasa. Perkara ini merujuk kepada perlakuan LGBT yang dilakukan di media sosial serta beberapa aspek pertimbangan yang lain yang wajar diketengahkan.

Tambahan lagi, sejak tahun 2011 JAKIM telah memperkenalkan modul bimbingan, sokongan dan pemulihan yang menumpukan kepada usaha memulihkan golongan ini selain mendedahkan mereka dengan program keagamaan dan rekreasi.

Oleh itu, saya mengharapkan agar usaha kerajaan untuk menangani isu LGBT di negara ini mendapat sokongan dan dukungan daripada semua pihak agar Malaysia kekal sebuah negara yang bersih daripada sebarang anasir yang tidak bertamadun ini. 

Terima Kasih. 

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB SENATOR USTAZ HAJI IDRIS AHMAD 
Ahli Dewan Negara
Naib Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – HARAKAHDAILY 22/1/2021

- Advertisement -