Tidak boleh cabar di mahkamah – Prof Dr Shamrahayu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Proklamasi Darurat untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ria’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak boleh dicabar di mahkamah.

Menurut Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Shamrahayu Abd Aziz, pengisytiharan darurat yang dilaksanakan ketika ini dibuat atas kepuasan hati Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, dalam Perkara 150, Fasal 8, Perlembagaan Persekutuan, secara jelas menyatakan hal puas hati Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar di mahkamah.

- Advertisement -

“Dalam Perkara 150, Fasal 8, Perlembagaan Persekutuan, perenggan A mengatakan kepuasan hati Yang di-Pertuan Agong itu tidak boleh dicabar di mahkamah.

“Perenggan B pula, Perkara 150, Fasal 8, Perlembagaan Persekutuan, ia menyatakan bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar ataupun menerima, ataupun membuat keputusan dalam hal-hal berkaitan, keesahan ataupun ketidakesahan kepada Proklamasi Darurat yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Di sini menunjukkan bahawa, menurut Perkara 150 dalam Fasal 8, dibaca dengan Fasal 1, Perlembagaan Persekutuan, apa juga tindakan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk membuat Proklamasi Darurat ataupun membuat undang-undang yang kita namakan ordinan dalam keadaan darurat itu, (tidak boleh dicabar di mahkamah),” ujarnya dalam satu tembual bersama Radio Ikim, pada Selasa.

Jelasnya, kata Shamrahayu, ada dua perkara mengenai Proklamasi Darurat yang tidak boleh dicabar di mahkamah, iaitu pengisytiharan darurat itu sendiri dan juga undang-undang yang dibuat untuk menyekat penularan Covid-19 itu.

Kedua-dua perkara ini tidak boleh dipersoalkan di mahkamah mengikut peruntukan Perkara 150 dalam Fasal 8, ini adalah keputusan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Maka, tiada mahkamah boleh mendengar permohonan tersebut, iaitu permohonan untuk mencabar keputusan Yang di-Pertuan Agong, tegas beliau.

Beliau menjelaskan sedemikian ketika ditanya status berhubung tindakan segelintir pihak yang berhasrat untuk mencabar Proklamasi Darurat yang dilaksanakan kerajaan di mahkamah baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 19/1/2021

- Advertisement -