PERMAI: Komitmen kerajaan bantu rakyat – Amzad

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pengumuman pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bukti komitmen tinggi kerajaan membantu rakyat.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, ketika negara dalam situasi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan Proklamasi Darurat, rakyat tidak dilupakan.

- Advertisement -

Katanya, pengumuman khas pakej bantuan PERMAI itu adalah bagi membantu kelangsungan hidup rakyat.

Menurutnya, pakej PERMAI mempunyai tiga fokus utama iaitu memerangi pandemik Covid-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan bagi ekonomi.

“Kerajaan tidak mahu dalam keadaan PKP ini, rakyat tidak dibantu. Maka, Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin) telah mengumumkan bantuan khas bagi membantu rakyat antara lain untuk kelangsungan hidup.

“Pakej PERMAI ini ada tiga fokus yang utama. Pertama, berkait untuk memerangi Covid-19 itu sendiri. Bagaimana, kita menggerakkan ‘frontlines’ kerana sebahagian mereka ini terlibat begitu lama.

“Mereka ini perlu dihargai dan diberi bantuan secukupnya. Oleh kerana itu, peruntukan yang agak besar telah dikeluarkan bagi membolehkan insentif diberikan kepada frontlines ini. Mereka itu terdiri daripada petugas kesihatan, keselamatan dan lain-lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi selepas mengadakan mesyuarat atas talian bersama kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Terengganu, hari ini.

Kedua, katanya tentang kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat yang kehilangan punca pendapatan.

“Sebahagian mereka hilang (punca) pendapatan dan mereka ini perlu dibantu. Jadi, banyak yang disenaraikan bantuan yang melibatkan mereka-mereka dengan penambahbaikan program i-Sinar, pelepasan cukai, moratarium dan sebagainya,” kata Amzad.

Selain itu, kata beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bahawa kelangsungan perniagaan juga penting supaya ekonomi boleh terus berjalan dan insentif-insentif tertentu diberikan termasuk sektor pengangkutan.

“RM15 bilion itu satu jumlah yang besar dan ini menunjukkan komitmen tinggi kerajaan. Ini adalah tambahan daripada pelbagai bantuan yang telah diumumkan sebelum ini di dalam Belanjawan 2021.

“Tambah lagi RM15 bilion, dan kerajaan sentiasa memikirkan bagaimana kita boleh membantu rakyat yang berhadapan dengan tempoh yang sukar ini.

“Apa yang penting, kita menghadapi kesukaran ini bersama untuk membantu rakyat dan boleh berdepan dalam tempoh yang getir ini.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin di atas pengumuman yang memberi manfaat itu,” jelasnya.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan pakej bantuan PERMAI bernilai RM15 bilion yang melibatkan 22 inisiatif dan merupakan pakej tambahan kepada rangsangan ekonomi sebelum ini yang berjumlah RM305 bilion. – HARAKAHDAILY 19/1/2021

- Advertisement -