KUALA LUMPUR: Pemilik syarikat mikro mahupun syarikat gergasi lebih bersedia menghadapi risiko dalam perniagaan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ini.
Mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (UniSel), Prof Madya Dr Zainal Abidin Kidam berkata, pelaksanaan PKP pada kali ini tidak akan memberi kesan yang teruk sebagaimana PKP pada sebelum ini.
“Mereka tidak akan terkesan sangat dengan PKP kali ini kerana perniagaan masih boleh dijalankan seperti biasa dengan waktu perniagaan dan pengoperasian yang terhad.
“Terutamanya syarikat-syarikat besar khususnya di negeri-negeri yang maju seperti Selangor dan Pulau Pinang,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily hari ini.
Katanya, perubahan di dalam strategi pemasaran telah banyak mengubah prestasi kedudukan kewangan pemilik perniagaan khususnya peniaga mikro.
“Dengan memanfaatkan teknologi digital pada hari ini, mereka menggunakan platform dalam talian (online) bagi mempromosikan produk atau barangan jualan mereka dengan lebih luas lagi.
“Mereka sudah mula sedar akan kepentingan perniagaan dalam talian yang lebih memudahkan, rendah kos dan tidak melibatkan sebarang interaksi secara fizikal malah mampu menjana pendapatan mereka dengan lebih baik daripada sebelumnya.
“Saya berpendapat bahawa PKP pada kali ini tidaklah begitu memberikan kesan terhadap ekonomi peniaga sebab mereka sudah pandai menggunakan kaedah baharu dalam pemasaran mereka,” katanya.
Beliau yang juga mantan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM) berpandangan bahawa kadar penggangguran juga tidak begitu tinggi berbanding sebelum ini.
Jelasnya, dengan pelbagai inisiatif kerajaan kepada majikan telah banyak membuka peluang pekerjaan dengan lebih banyak untuk menggaji kakitangan baharu.
Dalam pada itu, Zainal menyifatkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) adalah lebih bersasar dan tepat kepada keperluan ekonomi negara dan rakyat khususnya, sebagaimana yang terkandung dalam Belanjawan 2021.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan PERMAI yang mengandungi 22 inisiatif berteraskan kepada tiga matlamat utama iaitu, memerangi wabak Covid-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.
Pakej berjumlah RM15 bilion itu akan memanfaatkan sejumlah besar golongan sasaran melibatkan pemilik perniagaan, individu terjejas akibat pandemik Covid-19, petugas barisan hadapan dan para pelajar. – HARAKAHDAILY 19/1/2021