MPM serah memorandum kepada Istana Negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Melayu (MPM) menyerahkan memorandum darurat kepada Yang di-Pertuan Agong melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Ahmad Fadil Shamsuddin di Istana Negara, semalam.

Setiausaha Agung MPM, Prof. Dato’ Dr. Hasan Mad berkata, memorandum itu merupakan saranan MPM kepada Sri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong mengenai pengisytiharan darurat secara menyeluruh di seluruh Negara.

- Advertisement -

“Pengisytiharan darurat ini ialah sebab rakyat merasakan masalah-masalah yang sudah, sedang dan dijangka akan berlaku amat meruncing dari sudut ketenteraman awam, keselamatan dan kegawatan ekonomi,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata dari aspek ketenteraman awam ia melibatkan terlalu banyak permasalahan yang berkait dengannya dalam enam bidang utama kemakmuran.

“Terutamanya ketidaktentuan pimpinan di kalangan parti-parti politik melayu yang mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menyebabkan rakyat semakin meluat terhadap gelagat sesetengah daripada mereka tat kala rakyat berdepan kesengsaraan berganda,” katanya pada sidang media di Wisma MPM, semalam.

Turut hadir bersama beliau ialah Pengerusi Biro Politik MPM, Shahbudin Embun, Lembaga Penasihat MPM, Tan Sri Abu Zahar, Pengerusi Biro Tanah Simpanan Melayu, Che Ibrahim Che Idris dan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa.

Dalam pada itu katanya, MPM juga menggesa isu keselamatan seperti kawalan sempadan negara diberi perhatian sewajarnya malah negara juga perlu menumpukan kepada kegawatan ekonomi ekoran kejatuhan nilai ringgit dan pasaran saham.

“Terkini kejatuhan nilai pasaran saham, pelabur-pelabur yang begitu lama bertapak di Negara ini membuat keputusan untuk berhijrah ke negara jiran dan pelabur-pelabur baru yang nak melabur berbillion-billion ringgit membuat keputusan untuk berhijrah ataupun mengalih ke destinasi ke Negara jiran,” jelasnya.

Hasan berkata, MPM menerusi memorandum itu mencadangkan kepada Seri Paduka supaya menubuhkan sebuah badan pentadbiran interim yang menyamai nasional operation counselor semasa darurat tahun 1969.

“Semasa pentadbiran oleh badan ini, beberapa inisiatif dan tindakan wajar dilaksanakan segera bagi menambah baik malah memperkasa pentadbiran kerajaan.

“Apabila peranan badan ini tamat dan perintah darurat ditamatkan, pentadbiran kerajaan dikembalikan kepada kuasa Dewan Rakyat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, MPM dan semua Bukan Kerajaan (NGO) yang bersekutu menyokong penuh pengumuman mengenai pengisytiharan darurat (kesihatan) khusus untuk menangani Covid-19 yang dibuat oleh Sri Paduka Yang Dipertuan Agong.

“Walaubagaimanapun, kami merasakan dalam keadaan sekarang darurat berkaitan kesihatan hanya sebahagian kecil sahaja daripada keseluruhan punca permasalahan ketidakstabilan politik, ancaman keselamatan, ancaman ekonomi, gejala rasuah, perpaduan, agama dan banyak lagi,” katanya.

Tambahnya, menerusi memorandum MPM mengenalpasti 53 perkara yang patut dilaksanakan kerana perkara ini yang berdepan dengan pelbagai masalah umpamanya dalam bidang pemerintahan dan politik.

“Kesempatan hendaklah diambil oleh kerajaan interim ini yang dipimpin oleh Yang Dipertuan Agong untuk melaksanakan menggubal enakmen ataupun ordinan dana politik kerana banyak kes-kes rasuah politik berkaitan dengan dana politik termasuk dana politik yang tidak diketahui sumbernya.

“Seterusnya, mencegah enakmen lompat parti politik kerana ini satu masalah cukup-cukup besar yang menyebabkan kerajaan langsung tidak stabil,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/1/2021

- Advertisement -