Isytihar darurat langkah tepat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Proklamasi darurat bagi mengawal penularan pandemik COVID-19 dan politiking yang tidak berkesudahan adalah tepat pada masanya demi menjamin keselamatan dan kelangsungan hidup rakyat, kata mantan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaya (UKM), Prof Dr Supyan Hussin.

- Advertisement -

Beliau berpendapat dengan pengisytiharan darurat pada Selasa, fokus negara 100 peratus dapat dihalakan kepada usaha memerangi penularan COVID-19 agar ia tidak menjadi lebih parah sekali gus memulihkan negara daripada kesan pandemik itu.

“Dalam hal ini kita meletakkan kepentingan keperluan rakyat dan negara untuk menstabilkan ekonomi termasuklah kebajikan, kesihatan dan keselamatan awam lebih utama daripada kepentingan untuk menukar kerajaan ataupun pimpinan melalui pilihan raya atau bukan pilihan raya ketika ini.

“Kalau kita lihat juga dari segi maqasid syariah pun, meletakkan keutamaan nyawa, kesihatan dan kebajikan manusia itu lebih utama daripada yang lain.

“Jadi untuk saat ini, semua orang hendaklah bersama (bersetuju) dengan keputusan Yang Di-Pertuan Agong supaya bersatu dalam memberikan kerjasama bagi mengawal penularan wabak COVID-19 ini dan menerima proklamasi darurat yang diisytiharkan itu sebagai satu jalan yang baik untuk semua pihak, bukan untuk golongan tertentu sahaja,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan sokongannya terhadap pelaksanaan darurat yang dititahkan Tuanku Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan menyifatkan golongan sepertinya tidak cenderung terhadap sebarang kepentingan politik.

Supyan juga menyifatkan penubuhan Jawatankuasa Khas Bebas sebagai langkah yang sangat baik bagi memastikan darurat benar-benar bertujuan untuk menangani wabak dan bukannya bertujuan politik.

Ujarnya, jawatankuasa tersebut pernah ditubuhkan pada suatu ketika dahulu semasa negara sedang mengalami kemelut perkauman dan ketidakstabilan politik yang timbul ekoran tercetusnya Tragedi 13 Mei 1969.

“Sama seperti apa yang telah berlaku pada tahun 1969 dulu apabila kerajaan menubuhkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) bagi menangani masalah politik dan perkauman dengan melibatkan parti pembangkang duduk semeja untuk memikirkan bagaimana untuk mencari jalan penyelesaian bagi menangani pelbagai masalah yang sedang berlaku pada ketika itu.

“Ini adalah satu usaha yang baik kerana negara ini adalah milik rakyat, dengan melibatkan ahli-ahli parti pembangkang juga adalah satu usaha yang wajar dan perlu diuji,” kata Supyan lagi.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah memberi perkenan Pengisytiharan Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

Dato’ Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Ahmad Fadil Shamsudin dalam kenyataan Istana Negara memaklumkan Seri Paduka memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Baru-baru ini, lebih 200 ahli akademik di negara turut menyatakan sokongan mereka terhadap pengisytiharan darurat yang berkuat kuasa pada Selasa untuk menstabilkan dua perkara penting iaitu penularan COVID-19 dan arena politik negara. – HARAKAHDAILY 13/1/2021

- Advertisement -