PKFZ: Gagal lucut hak wang, hartanah RM37 juta

PUTRAJAYA: Pendakwaan gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan untuk melucut hak wang dan hartanah bernilai lebih RM37 juta daripada Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing dan lapan yang lain berkaitan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, menolak rayuan pendakwaan itu.

Keputusan mahkamah disampaikan oleh Hasnah yang mengatakan setelah membaca afidavit secara keseluruhan, Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Advertisement

Bahawa pihak pendakwaan kemukanya, gagal mengenal pasti tahap penyertaan responden dalam aktiviti pengubahan wang haram untuk mendapatkan harta tanah tersebut.

Beliau berkata bukti yang dikemukakan melalui afidavit hanya mengandungi bukti dengar cakap dan tidak ada bukti dokumen bahawa harta itu diperoleh melalui kegiatan haram.

“Kami berpuas hati bahawa rayuan ini tidak ada merit,” kata hakim sambil menambah bahawa keputusan Mahkamah Rayuan dikekalkan.
 
Keputusan mahkamah hari ini adalah berhubung rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonannya untuk melucut hak wang dan hartanah bernilai lebih RM37 juta yang dimiliki responden iaitu Tiong, Law Ka Hing dan tujuh syarikat.

Syarikat berkenaan ialah Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), Transshipment Megahub Berhad, Coastal Skyline Sdn Bhd, Wijaya Baru Aviation Sdn Bhd, Wijaya Baru Sdn Bhd, Wijaya Baru Construction Sdn Bhd dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Pada 23 November 2010, pendakwaan memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk melucut hak wang dan aset responden mengikut Seksyen 56 (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

Pendakwaan telah memfailkan notis usul untuk melucut hak wang dan hartanah terbabit atas alasan ia diperoleh hasil perbuatan salah mengikut Seksyen 4 (1) AMLATFA.

Seksyen 4 (1) of AMLATFA menyatakan bahawa sesiapa yang melibatkan diri, secara langsung atau tidak langsung, dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan melakukan kesalahan pengubahan wang haram dan apabila disabitkan boleh dipenjarakan atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Antara aset terbabit ialah wang dalam akaun bank, enam keping cek jurubank dan dua lot tanah di mana pada 4 November 2011, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan pendakwaan dan memerintahkan agar wang serta aset terbabit diserahkan kepada responden.

Prosiding mahkamah hari ini dijalankan melalui aplikasi Zoom. Dalam keputusannya, Hasnah berkata afidavit itu hanya menggambarkan jejak wang khususnya pergerakan wang dari KDSB ke pelbagai akaun lain.

Beliau berkata dalam rayuan segera, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes tersebut berdasarkan imbangan kebarangkalian untuk memastikan semua syarat penting seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 56 AMLATFA telah dibuktikan.

Hakim itu berkata sebaliknya, responden, melalui afidavit jawapan menjelaskan secara terperinci dan mengemukakan dokumen yang sewajarnya untuk menjelaskan bagaimana hartanah tersebut diperoleh.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa penyitaan wang dan hartanah responden itu adalah berkaitan perbuatan pecah amanah jenayah dan penipuan yang dikenakan terhadap individu terbabit.

Iaitu bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang Datin Paduka O.C. Phang, Ketua Pegawai Operasi Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) Stephen Abok, arkitek Bernard Tan Seng Swee dan bekas pengurus projek Kuala Dimensi, Law Jenn Dong.

Pihak pendakwaan, bagaimanapun telah menarik balik kesnya terhadap Phang pada 2016 manakala Mahkamah Sesyen pada Mac 2017 membebaskan dan melepaskan Law, Tan serta Abok.

Peguam Datuk Prem Ramachandran mewakili Tiong, Law, KDSB, Transshipment Megahub, Coastal Skyline, Wijaya Baru Aviation, Wijaya Baru dan Wijaya Baru Construction manakala peguam Shamsul Sulaiman bagi pihak PKNS.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Faizah Mohd Salleh, Nahra Dollah, Hanim Mohd Rashid dan Allan Suman Pillai. – BERNAMA