PKP di enam negeri tidak beri kesan ekonomi ketara

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri untuk tempoh 14 hari bermula esok, dijangka tidak memberi impak ekonomi yang begitu ketara berbanding pelaksanaan empat fasa PKP pada Mac tahun lepas.

Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata kerajaan telah membuat persediaan terperinci selain melakukan beberapa penambahbaikan bagi melaksanakan PKP di negeri terlibat dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

“PKP ini yang melibatkan enam negeri iaitu – Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah – merupakan negeri penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Advertisement

“Sektor ekonomi akan tetap terkesan pada pelaksanaan PKP kali ini, namun kesan secara menyeluruh akan dapat dikurangkan berikutan negeri-negeri lain masih boleh lakukan aktiviti perniagaan seperti biasa dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti ditetapkan kerajaan,” katanya dalam program Ruang Bicaraterbitan Bernama TV malam tadi.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan pelaksanaan PKP di enam negeri – Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah – untuk tempoh 14 hari bermula Rabu (13 Januari) hingga 26 Januari.

Enam lagi negeri – Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan – dilaksanakan PKP Bersyarat (PKPB) manakala PKP Pemulihan (PKPP) bagi Perlis serta Sarawak, untuk tempoh sama.

Sementara itu, Ahmed Razman berkata meskipun penularan pandemik COVID-19 menyukarkan pergerakan, namun ia dilihat dapat membuka peluang kepada syarikat-syarikat meneroka peluang perniagaan baharu.

“Sebagai contoh, syarikat-syarikat yang terlibat dalam perkhidmatan dron dapat menawarkan perkhidmatan ke seluruh dunia. Ini mampu meningkatkan pendapatan syarikat mereka sekali gus menjana pendapatan negara semasa situasi sukar ini (penularan COVID-19),” katanya.

Mengulas mengenai peningkatan kes COVID-19 yang dilaporkan sejak akhir-akhir ini, beliau berkata ia tidak menggambarkan kegagalan kerajaan dalam mengawal penularan virus itu.

“Ini melibatkan kerjasama semua pihak dan perlu patuh SOP yang ditetapkan kerajaan. Kerajaan juga perlu fokus dalam menangani perkara ini, elakkan bercakap mengenai tukar kerajaan pada ketika ini sebaliknya semua pihak perlu berganding bahu dalam usaha melandaikan lengkung COVID-19,” katanya. – BERNAMA