Akujanji Muhyiddin, PRU selepas Covid-19 pulih

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau memberikan komitmen yang tegas bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan sebaik sahaja wabak Covid-19 kembali reda atau pulih sepenuhnya dan selamat untuk diadakan.

Ujarnya, beliau tidak berniat untuk tidak mengadakan pilihan raya, namun pandemik Covid-19 antara penghalang utama beliau tidak menasihati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar membubarkan Parlimen.

- Advertisement -

Katanya, keputusan untuk tidak mengadakan pilihan raya semasa pandemik Covid-19 masih menular ini adalah selaras dengan satu daripada lima prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga nyawa atau hifz al-nafs.

“Dalam konteks ini, adalah menjadi kewajipan saya sebagai Ketua Kerajaan untuk menjaga nyawa rakyat dengan melindungi saudara dan saudari sekalian daripada jangkitan Covid-19. Ini adalah kemaslahatan paling utama yang dituntut oleh agama Islam.

“Justeru, saya memberikan komitmen yang tegas bahawa Pilihan Raya Umum akan diadakan sebaik sahaja Jawatankuasa Khas Bebas yang akan ditubuhkan memperakukan bahawa wabak Covid-19 telah reda atau pulih sepenuhnya dan pilihan raya adalah selamat untuk diadakan.

“Pada masa itu, terpulanglah kepada rakyat untuk memilih kerajaan mana yang layak untuk mentadbir negara ini dan menjaga kebajikan saudara dan saudari sekalian. Inilah komitmen dan akujanji saya yang akan saya tunaikan, insya-Allah,” katanya pada Pengumuman Khas Darurat, hari ini.

Menurut Muhyiddin, dalam keadaan negara dan rakyat sedang menghadapi satu mudarat besar, adalah amat penting semua ahli politik mengenepikan perbezaan masing-masing dan bersolidariti bersama rakyat.

“Bila tiba masa untuk berpolitik, maka berpolitiklah dengan penuh bertanggungjawab,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut memberi jaminan bahawa sepanjang tempoh darurat dilaksanakan, badan kehakiman akan terus berfungsi untuk menegakkan hukum dan keadilan.

Manakala, katanya Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terus mempertahankan kebebasan badan kehakiman dan tidak akan sekali-kali mencampuri urusan mahkamah.

Tambahnya lagi, aktiviti ekonomi juga akan terus berfungsi tertakluk kepada SOP dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa.

“Kerajaan akan memastikan aktiviti ekonomi tidak terhenti agar rakyat mampu untuk terus bekerja dan perniagaan, perdagangan dan industri dapat terus beroperasi seperti biasa.

“Kerajaan juga komited untuk memastikan amalan-amalan governans (tadbir urus) terbaik terus diamalkan sepanjang tempoh pelaksanaan darurat.

“Organisasi kawal selia negara yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, iaitu Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, serta Bursa Malaysia, akan terus memainkan peranan mereka sebagai pemangkin, pengawal selia dan pemudahcara syarikat dan pasaran,” jelas Muhyiddin. – HARAKAHDAILY 12/1/2021

- Advertisement -