KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengiktiraf 84 logo halal daripada 46 negara seluruh dunia sehingga 1 Disember tahun lalu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Menurut beliau, dengan adanya logo halal ini pengguna dan pengimport boleh mengenal pasti logo-logo halal luar negara diiktiraf JAKIM pada produk import yang dijual di pasaran bagi mengelakkan kerugian dan keraguan.
Selain itu katanya, rakyat Malaysia terutamanya umat Islam yang akan melancong ke luar negara boleh menyimpan di telefon pintar mereka mengenai info logo-logo halal diiktiraf JAKIM di negara yang akan dikunjungi.
Pengguna juga boleh muat turun dalam format .pdf senarai Logo Halal Luar Negara yang diiktiraf JAKIM menerusi pautan: https://drive.google.com/drive/folders/1hvYRXjsfP9mpPifB_4tG2k17qi1_uZQy?usp=sharing
Dato’ Seri Dr Zulkifli juga memaklumkan, kerajaan akan meminda akta berkaitan pensijilan halal bagi mengelakkan berlaku pertindihan dan memperkemas perundang sedia ada, selain pihak berkuasa juga akan melaksanakan pendigitalan kod bar produk makanan halal.
“Ada beberapa tindakan yang akan kita lihat dengan lebih berkesan dan kita sedang membuat satu mekanisme atau persediaan ke arah itu,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir sekitar Slim River di Sekolah Kebangsaan Kuala Slim, Tanjung Malim semalam.
Sementara itu, Zulkifli berkata pihaknya bersedia mempereratkan lagi jalinan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) khususnya dalam audit yang dilaksanakan terhadap loji penyembelihan di luar negara sebelum diberi kebenaran mengeksport daging ke negara ini.
“Sekarang sudah ada pegawai SPRM bersama kami di Jabatan Perdana Menteri. In sya-Allah, hubungan kita dengan SPRM cukup baik dan mungkin boleh dieratkan lagi mengikut kesesuaian pelaksanaan isu yang berkait dengan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.
Zulkifli mengulas laporan akhbar semalam yang memetik bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Seri Salahuddin Ayub sebagai berkata, beliau pernah cuba menambah baik prosedur audit loji penyembelihan di luar negara yang menghasilkan daging sejuk beku ke negara ini.
Media sebelum ini melaporkan kartel mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui halal dan kualitinya, dipercayai ‘membeli’ beberapa kakitangan kerajaan termasuk pegawai agensi tertentu bagi melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara.
Sebelum ini, sebuah gudang syarikat daging sejuk beku di Taman Perindustrian Senai, Johor diserbu pihak berkuasa hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan menyeludup daging sejuk beku. – HARAKAHDAILY 7/1/2021