Isu daging import: Kerajaan perlu segerakan siasatan

- Advertisement -

SAYA mengikuti secara dekat isu dakwaan kartel pengimportan daging import yang dipercayai telah diseludup daripada beberapa buah negara dan dibungkus semula (repackaging) serta dicop dengan logo halal yang palsu.

Pendedahan yang dilakukan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) awal bulan lalu sudah pasti menimbulkan kegusaran khususnya dalam kalangan umat Islam di negara ini. Hal ini kerana ia melibatkan isu sensitif logo halal yang telah dipalsukan. Lebih perit lagi, beberapa media turut mendakwa kartel ini telah beroperasi selama 40 tahun tanpa pengetahuan pihak berkuasa.

Saya mengambil pendirian bahawa isu ini masih memerlukan pelbagai penjelasan khususnya daripada pihak MAQIS yang mempunyai peranan yang begitu mustahak dalam isu ini. Hal yang demikian kerana MAQIS menjadi bahan rujukan utama kepada Jabatan Kastam bagi sebarang pengawal seliaan pengimportan dan pengeksportan komoditi berasaskan pertanian, haiwan dan perikanan, bersandarkan kepada Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728). 

- Advertisement -

Hakikatnya, masih terdapat isu-isu utama yang masih lompang dan perlukan penjelasan secara komprehensif. Antaranya, sejauhmana kartel yang didakwa telah wujud sejak 40 tahun gagal dikesan oleh pihak berkuasa? Apakah sudah ada dakwaan di mahkamah mengenai kewujudan kartel berkenaan? Ini sebahagian yang masih memerlukan penjelasan lanjut pihak berkuasa.

Dalam serbuan baru-baru ini, sindiket tersebut dipercayai terlibat dalam beberapa kesalahan yang dinyatakan di bawah peruntukan Akta 728 berkaitan dengan pemalsuan dokumen, permit, sijil halal dan sebagainya. Tambahan lagi, dakwaan tersebut juga menyentuh mengenai serbuan kira-kira 1,500 tan daging berjumlah RM30 juta. 

Namun, dalam kenyataan lain yang dikeluarkan oleh pihak MAQIS sendiri mendedahkan bahawa sepanjang Januari sehingga November tahun ini, sebanyak 1,220 kes tahanan melibatkan nilai RM157 juta. Manakala kes yang melibatkan komoditi daging sahaja adalah 56 kes bernilai RM5.3 juta dengan jumlah kompaun RM224,800. 

Kedua-dua perkara ini sendiri mendedahkan tidak konsisten daripada data-data yang dikeluarkan oleh pihak MAQIS sendiri dengan apa yang telah didedahkan oleh pihak media. Tambahan lagi, perkara yang masih kabur juga adalah mengenai kebolosan serta ketempangan badan-badan penguatkuasa di pintu masuk negara yang mempunyai SOP yang ketat dan jelas dalam pengimportan daging sejuk beku.

Kerajaan memerlukan suatu siasatan yang terperinci, tidak bias dan menyeluruh dalam isu ini kerana ia melibatkan institusi-institusi utama dalam negara seperti pihak Kastam, MAQIS, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) malah JAKIM sendiri yang begitu sensitif dengan sebarang SOP yang dikenakan. Tuduhan melulu serta ketiadaan siasatan yang terperinci hanya memburukkan nama baik agensi yang terlibat.

Pengimportan daging sejuk beku memerlukan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) untuk membuat pemeriksaan di loji pemprosesan di negara terbabit, selain memerlukan audit daripada pihak JAKIM berdasarkan Malaysia Standard for Halal Food (MS1500:2009). 

Tambahan lagi, pihak MAQIS juga bertanggungjawab untuk melakukan semakan dokumentasi dan pemeriksaan fizikal di pintu masuk termasuklah berkaitan permit import, borang Kastam K1, Sijil Kesihatan Veterinar, Sijil Halal dan lain-lain dokumen sokongan. Situasi ini menjelaskan SOP yang ketat yang dikenakan terhadap pengimportan daging import.

Tanpa menafikan isu-isu yang dibangkitkan di media massa ketika ini, saya ingin pertegaskan bahawa isu ini perlu mendapat siasatan dan penjelasan yang komprehensif dan tuntas. Hal ini kerana ia merupakan isu yang besar dan menyebabkan imej buruk kepada negara jika tiada penjelasan yang sebenar diketengahkan oleh pihak berkuasa. 

Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab perlu tampil dan segera melakukan siasatan terhadap dakwaan yang dibangkitkan supaya kita dapat menentusahkan kes-kes yang dibangkitkan.

Sekian, terima kasih.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB SENATOR USTAZ HAJI IDRIS AHMAD
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 29/12/2020

- Advertisement -