Cabutan khas judi: Penambahan bukan penyelesaian

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Malaysia menzahirkan kebimbangan terhadap langkah kerajaan menambah kekerapan cabutan khas judi dari 8 kali setahun pada tahun 2020, kepada 22 kali setahun bermula 2021.

Sekalipun kekerapan cabutan ini bertujuan untuk menambahkan pendapatan negara bagi usaha mengekang wabak COVID-19, seperti kali pertama ia mula diperkenalkan pada tahun 1999 semasa wabak virus Nipah bertujuan untuk menghapuskan punca wabak, Pemuda PAS berpendapat ianya bukan jalan penyelesaian terbaik. Judi adalah haram di sisi Islam, selain akan menambah lebih banyak masalah sosial dalam kalangan rakyat. Masih ada jalan lain yang boleh digunakan, tanpa perlu menambah kekerapan cabutan ini. 

- Advertisement -

Sebagai alternatif, Pemuda PAS mencadangkan agar peruntukan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 ditambah melalui pendapatan sedia ada tanpa perlu meningkatkan kekerapan cabutan khas. Pemuda PAS juga mencadangkan agar kerajaan menggalakkan usahasama dengan syarikat-syarikat GLC untuk menampung kos mengekang wabak COVID-19, menggantikan hasil kutipan dari cabutan khas.

Bagi menunjukkan keseriusan kami dalam menzahirkan ketidaksetujuan dengan cadangan ini, Pemuda PAS memohon untuk mengadakan satu pertemuan dengan YB Menteri Kewangan serta Kementerian Kewangan. Kami sedia untuk berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi mencari jalan terbaik menambah pendapatan negara untuk tujuan mengekang wabak COVID-19, selain membentangkan solusi bagi mengawal dan mengurangkan aktiviti judi di dalam negara. 

Pemuda PAS menzahirkan terima kasih atas usaha DAP melalui wakilnya, YB Senator Liew Chin Tong yang membangkitkan isu ini. Kami yakin DAP mempunyai aspirasi yang sama dengan kami untuk memastikan Malaysia bebas dari judi yang haram dalam Islam, serta bakal menyumbang kepada kerosakan dan masalah sosial di dalam negara. Justeru, pihak kami berbesar hati mengajak pimpinan-pimpinan DAP, serta parti-parti lain dalam Pakatan Harapan mahupun Perikatan Nasional untuk bersama-sama membanteras terus segala aktiviti perjudian di Malaysia. Semoga Malaysia terus maju di tahun 2021 tanpa judi. 

YB SENATOR IR TS KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 2/1/2021

- Advertisement -