T-HRDC usaha atasi pengangguran di Terengganu

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Pusat Pembangunan Sumber Manusia Negeri Terengganu (T-HRDC) telah menganjurkan Bengkel Perancangan Strategik bertempat di Hotel Everly, di sini 27 Disember lalu dan berakhir kelmarin.

Bengkel ini bertujuan menyediakan Pelan Pembangunan Strategik Sumber Manusia Terengganu selaras dengan Hala Tuju Kerajaan Negeri Terengganu atau PITAS2030 dan menyelaras peranan pelbagai agensi.

Ia dilakukan menerusi pemantapan rakan strategik dan menyelaras pendanaan serta merancang memperkasakan kebolehpasaran kerja selain merangka Pelan tindakan taktikal dan kerangka pemantauan.

- Advertisement -

Sepanjang bengkel, para peserta dilibatkan dalam perbincangan bagi menyelaraskan peluang penempatan pekerjaan di pelbagai industri, agihan sumber manusia dan pelatih lepasan pusat latihan.
 
Hasilnya perbincangan telah membuahkan kerangka kerja Pelaksanaan Pengurusan Sumber Manusia Terengganu melibatkan peluang penempatan pekerjaan dan program melahirkan tenaga kerja Teknokrat Rabbani.

Agenda ini diselaraskan oleh Urusetia Pekerjaan Negeri Terengganu, di bawah Jawatankuasa Keusahawan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna di mana T-HRDC bertindak sebagai sekretariat.
 
Menerusi kerjasama ini, memorandum persefahaman (MoU) antara pelbagai agensi rakan strategik bagi penyaluran maklumat, perkongsian sumber serta kecekapan pengurusan penempatan pekerjaan akan dimeterai.

Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, T-HRDC yang baharu setahun ditubuhkan antaranya bertujuan menangani pengangguran di Terengganu di mana melebihi kadar nasional.

“T-HRDC ini sebagai platform kerjasama, khususnya kepada dua institusi utama iaitu majikan yang mencari pekerja dan institusi latihan yang mengeluarkan pelatih. Job matching tidak wujud kerana kita bergerak secara silo,” ujarnya pada bengkel itu.

Menurutnya, T-HRDC menyeru untuk agensi-agensi terlibat menyelaraskan data untuk mengatasi isu tersebut agar penyelesaian yang dihasratkan tercapai secara optimum bagi membantu rakyat Terengganu.

“Harapan menjadikan T-HRDC agensi signifikan bagi menyelesaikan permasalahan pekerjaan negeri Terengganu, dan kita boleh menyelesaikan masalah ini secara tuntas dan berdata.

“Selepas ini kita akan turun ke bawah menemui rakyat Terengganu yang sedang menunggu-nunggu tindakan daripada hasil yang kita bincangkan hari ini,” ujarnya.

Antara agensi turut terlibat adalah Jabatan Tenaga Kerja Negeri Terengganu (JTK), PERKESO Negeri Terengganu, Majlis Pembangunan Wilayah Timur (ECER DC) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).

Juga Kementerian Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu (KPLB), Bahagian Pembangunan Belia Kementerian Belia Sukan (KBS). – HARAKAHDAILY 31/12/2020

- Advertisement -