Pihak berkuasa perlu main peranan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS sangat memandang serius berhubung isu pengimportan daging sejuk beku yang diragui status halalnya.

Senator Ustaz Idris Ahmad berkata, isu ini memberi kesan yang sangat besar kepada umat Islam kerana ia melibatkan hukum halal haram.

“Permasalahan yang timbul hari ini bukan sahaja disebabkan daripada (cara) penyembelihan yang tidak ikut syariat, malah percampuran daging yang haram seperti daging babi yang dicampur sekali dalam satu tempat dengan daging yang halal.

- Advertisement -

“Ini yang berlaku. Kita sangat bimbang dengan keadaan yang yang berlaku hari ini,” katanya dalam bual bicara Harakah bertajuk Kartel daging haram: Di mana silapnya, di sini, semalam.

Menurutnya, dalam isu ini pihak berkuasa mesti memainkan peranan yang penting dengan membuat pemantauan kepada syarikat-syarikat pengimport daging supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Jelasnya, tindakan tegas perlu diambil kepada syarikat-syarikat yang menyalahgunakan logo halal ini kerana ia boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Dalam pada itu, Ustaz Idris tidak menafikan terdapatnya unsur rasuah yang berlaku dalam kes kartel daging ini sehingga perkara ini boleh berlaku dengan mudah.

“Gudang yang menyimpan barang bukan sebesar kotak mancis, macam mana (pihak berkuasa) tidak nampak. Jadi, ini kena siasat,” ujarnya.

Katanya, untuk mengatasi perkara ini, beliau mencadangkan supaya kerajaan mengurangkan pengimportan barang makanan daripada luar sekiranya produk itu boleh diusahakan sendiri dalam negara.

Selain itu, katanya penggunaan logo halal mesti dikuatkuasakan dengan sebaik mungkin supaya tidak lagi berlaku pemalsuan.

“Sebagai pengguna pula, kita perlu memilih yang halal lagi bersih. Bukan sekadar kedai itu tiada daging babi terus beranggapan ia halal. Pengguna perlu berhati-hati,” tegasnya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah menyita syarikat berkenaan dan merampas daging sejuk beku yang terdapat dalam gudang serta beberapa buah lori.

Anggota penguatkuasa KPDNHEP juga telah merampas kira-kira 5,000 keping pelekat logo halal palsu, 24 unit cop (rubber stamp) pelbagai nama, dan 2,428 kotak daging beku di gudang berkenaan yang bernilai RM738,640.

Turut disita dua lori yang mengandungi barangan import menggunakan logo halal palsu Jakim bernilai kira-kira RM1.03 juta.

Pihak KPDNHEP juga telah menubuhkan Jawatankuasa Perundangan dan Penguatkuasa Halal bagi menyelaraskan tindakan undang-undang dan isu berkaitan halal yang turut dianggotai Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN). – HARAKAHDAILY 31/12/2020

- Advertisement -