Senator: Wadah menjulang cita-cita Islam

ALHAMDULILLAH, saya dengan penuh rasa rendah diri mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T. Dengan izin dan kehendak-Nya, saya mewakili seluruh Pemuda PAS dan Perikatan Nasional diberi peluang dilantik dan mengangkat sumpah sebagai Senator di Dewan Negara pada hari ini. Sudah tentu pelantikan ini bukan untuk dibanggakan, sebaliknya amanah yang cukup berat untuk dilaksanakan. 

Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Presiden PAS, Yang Berhormat Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan kepimpinan parti kerana memberi kepercayaan kepada saya yang mewakili Pemuda PAS untuk membawa agenda belia di peringkat Legislatif negara. Insya-Allah, saya akan berusaha sedaya upaya memikul tanggungjawab yang besar ini. 

Saya juga berbesar hati mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Perikatan Nasional yang turut memberi sokongan moral atas pelantikan ini. Sokongan ini merupakan satu peluang besar yang akan dimanfaatkan untuk memperjuangkan polisi dan solusi bagi pemasalahan semasa yang melibatkan belia negara khususnya.

Advertisement

Saya tidak pernah terfikir akan berada di tahap ini sekarang atau bercita-cita untuk menjadi seorang Senator. Wadah ini adalah ruang untuk saya menjulang cita-cita Islam dan menabur khidmat untuk masyarakat. Seluruh tekad ini tidak akan mampu untuk dilunaskan melainkan dengan bantuan Allah S.W.T serta sokongan daripada segenap pihak terutama daripada Tuan Yang di-Pertua Dewan Negara, para Setiausaha dan bentara Dewan, ahli-ahli Yang Berhormat Senator, Pemuda PAS, Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional, rakan-rakan daripada pertubuhan bukan kerajaan dan pengamal media, ahli akademik, pemain industri serta simpatisan yang lain.

Sifat Keluarga Berkasih Sayang,
Sama Serumah Tolong Menolong,
Adat Dijaga Budi Terbilang, 
Petua Amanah Sentiasa Dijunjung.

Saya bermula sebagai seorang anak muda tipikal yang lain. Selepas graduan, saya bekerja makan gaji. Kadang kala terpaksa berjimat dan mengikat perut. Tinggal di rumah sewa dan menunggang motosikal ke tempat kerja. Berjauhan dengan anak dan isteri adalah rutin kebiasaan. Hidup perlu diteruskan. Bak kata Buya HAMKA:

“Semangat yang lemah, buanglah jauh. Jiwa yang kecil, segera besarkan. Yakin percaya iman pun teguh. Zaman hadapan penuh harapan”. 

Justeru, saya dengan penuh sedar menawarkan diri untuk memperjuangkan beberapa isu yang melingkari kehidupan anak muda Malaysia. 

Pertama fokus kepada kemenjadian jati diri anak muda Malaysia. Ia mesti bermula daripada keberkesanan sistem pendidikan terutama di peringkat menengah dan tertiari (tinggi).

Kedua fokus kepada pengurangan kadar pengangguran anak muda, penjanaan peluang pekerjaan, penambahan nilai pekerjaan dan peningkatan produktiviti serta upah gaji. 

Ketiga fokus kepada kesejahteraan hidup anak muda yang mesti dipupuk daripada keharmonian institusi keluarga, sistem sokongan, pemilikan harta dan literasi kewangan peribadi. 

Keempat fokus kepada pengukuhan tanggungjawab anak muda kepada pembangunan masyarakat dan pembinaan negara bangsa. 

Insya-Allah, saya bersedia untuk memeras keringat dan segenap daya upaya untuk memastikan keempat-empat fokus utama ini diperjuangkan secara konsisten dan upaya. Saya juga ingin mengajak lebih ramai aktivis dan ideolog anak muda di luar sana untuk bersama-sama membina semula negara dan mensejahterakan Malaysia: 

‎وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ

“Dan tidaklah aku beroleh taufik (untuk menjayakannya) melainkan dengan pertolongan Allah.”

(Hud: 88)

Sekian, terima kasih. 

YB SENATOR IR TS HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia,
Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 28/12/2020