Jangan membantu kerja-kerja musuh

- Advertisement -

APABILA PAS dan Umno mengambil keputusan membina Muafakat Nasional (MN) ianya merupakan satu binaan ikatan persahabatan yang luar biasa yang membawa dua buah parti Melayu Islam terbesar dalam negara mengenepikan perseteruan puluhan tahun duduk bersatu demi memartabatkan perjuangan agama, bangsa dan negara.

Permuafakatan ini tercipta atas keinsafan perintah Allah S.W.T agar umat Islam bersatu dengan ikatan tali Allah S.W.T. Lalu bertaut dan berkasih-sayanglah ahli-ahli di semua peringkat di semua ceruk rantau tanah air.

- Advertisement -

Mustahil permuafakatan anugerah Allah S.W.T ini boleh terungkai, apa lagi roboh kerana ia dibina dengan akar tunjang persefahaman yang kukuh dan agenda yang diperintah oleh yang Maha Kuasa.

Sepanjang jalan menjalin ukhuwah ini yang pasti paling gusar dan tidak selesa adalah musuh-musuh kita yang akan sentiasa berusaha mengadu-domba agar retak dan berkecai binaan besar ini.

Menghadapinya kita perlu semakin akrab dan bekerja semakin kuat mengelakkan pergeseran mengutamakan penyatuan. 

Pimpinan dan ahli-ahli PAS dan Umno bersamalah menatang penyatuan ini bagaikan minyak yang penuh. Jangan dilayan apalagi terpengaruh dengan bisikan si durjana yang dengki dan senak perut dengan permuafakatan ini.

Saya dan saya percaya ahli-ahli PAS dan Umno rata-rata cukup kesal dan kecewa apabila membaca posting ini yang ternyata suatu pembohongan dan fitnah yang sangat jahat. Semalam berlangsung program Liqa Fiqri PAS atas talian yang disertai hampir 2,000 pimpinan PAS pelbagai peringkat seluruh negara.

Presiden PAS telah memberikan ucaputama yang bertajuk ‘Memperkasakan MN dan mempertahan PN’. Langsung tidak berbangkit kononnya keputusan membatalkan piagam kerjasama MN sebagaimana didakwa penulis ini. Janganlah terlibat dalam kerja-kerja jahat seumpama ini yang hanya menguntungkan pihak musuh.

Dalam satu Hadis, daripada Abu Musa al-Asy’ari, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

 “Diumpamakan Sahabat yang soleh dan Sahabat yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan kamu, sama ada kamu membeli minyak wangi tersebut atau hanya mencium bau harumannya sahaja. Manakala tukang besi pula boleh menyebabkan rumah kamu atau baju kamu terbakar, atau kamu mendapat bau busuk darinya.” 

(Hadis Riwatat Bukhari)

Perkasakan MN pertahankan PN.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 27/12/2020

- Advertisement -