Kerajaan PAS ikhlas mansuh jawatan penyelia

- Advertisement -

KOTA BHARU: Langkah kerajaan Kelantan memansuhkan jawatan Penyelia Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Penyelia Parlimen bermula tahun hadapan diharap dapat mengeratkan lagi hubungan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, langkah yang diambil kerajaan negeri itu menggambarkan kerajaan diterajui PAS jujur dan ikhlas.

- Advertisement -

Katanya, langkah itu dilihat dapat mengembalikan hak wakil rakyat secara keseluruhan untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Ini adalah contoh baik yang mana telah dipraktikkan sebelum ini di Pahang di bawah nama Muafakat Nasional,” katanya di sini.

Semalam, Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah mengumumkan kerajaan negeri Kelantan akan memansuhkan jawatan Penyelia Parlimen dan Penyelia DUN di Kelantan mulai tahun hadapan, 2021.

Langkah itu bagi memantapkan lagi hubungan Muafakat Nasional dan Periktan Nasional yang terjalin erat antara PAS, Umno dan Bersatu.

Penyelia DUN dan Parlimen di Kelantan dilantik selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lepas dalam kalangan calon yang bertanding di kawasan DUN dan Parlimen tertentu di negeri tersebut.

Pelantikan itu bertujuan bagi memudahkan penyaluran program dan agenda kerajaan negeri di peringkat parlimen dan DUN yang dimenangi BN dan Bersatu pada PRU lepas.

Menurut Mohd Amar, individu yang memegang jawatan penyelia terbabit akan dilantik sebagai pegawai seranta di bawah Pejabat Menteri Besar.

Mohd Syahbuddin yang juga pemimpin Umno Gua Musang berkata, beliau menggunakan peruntukan yang disalurkan kerajaan negeri bagi manfaat rakyat.

“Saya juga sentiasa bekerjasama sama dengan penghulu mukim yang dilantik kerajaan negeri bagi melaksanakan program bersama rakyat,” ujarnya.

Penyelia DUN Kok Lanas,
Nik Mahadi Nik Mahmood

Penyelia DUN Kok Lanas, Nik Mahadi Nik Mahmood pula berkata, beliau berlapang dada terhadap keputusan kerajaan negeri memansuhkan jawatan Penyelia DUN mulai tahun hadapan.

Katanya ia merupakan langkah terbaik kerajaan negeri bagi mengeratkan lagi hubungan Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional.

“Lagipun hubungan pemimpin PAS dan Umno di DUN Kok Lanas dan Parlimen Ketereh berjalan lancar sejak termeterai Muafakat Nasional pada September 2019,” katanya yang juga Naib Yang Dipertua PAS Ketereh.

HARAKAHDAILY 17/12/2020

- Advertisement -