KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) memberi peringatan kepada pihak yang terlibat dalam sektor perusahaan, perladagan dan komoditi agar sentiasa patuh kepada undang-undang.
Menterinya, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, KPPK memandang serius terhadap pelanggaran Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) melibatkan kemudahan kediaman bagi pekerja asing.
Hal ini katanya berikutan, terdapat beberapa syarikat sarung tangan getah dan perabot yang didapati tidak mematuhi peraturan seperti ditetapkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).
“Akta 446 bertujuan untuk menambah baik Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing 2018 yang meliputi standard ruang minimum kediaman, kemudahan asas bagi rumah dan pekerja selain elemen keselamatan serta kebersihan yang perlu diberi perhatian oleh pihak majikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pematuhan terhadap akta berkenaan adalah amat kritikal bagi sektor perladangan dan industri komoditi bertujuan memberi keyakinan kepada pihak antarabangsa bahawa Kerajaan Malaysia adalah serius dalam usaha menangani isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak yang didakwa berlaku di negara ini.
“Dalam hal ini, KPPK ingin memberi peringatan kepada semua pihak yang terlibat dalam sektor perladangan dan industri komoditi agar sentiasa patuh kepada undang-undang termasuk yang berkaitan Akta 446 bagi memastikan kebajikan pekerja sentiasa dititikberatkan,” tegasnya.
Tambah Khairuddin, KPPK dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan akan terus menyokong serta membantu sektor perladangan dan industri komoditi dalam mengamalkan sistem perburuhan yang baik.
Sebelum ini, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dilaporkan akan mengambil tindakan mahkamah terhadap pengeluar sarung tangan Top Glove dan beberapa syarikat lain.
Syarikat itu didapati melanggar peruntukan terhadap Akta Standard Minima Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) membabitkan penyediaan perumahan kepada pekerja masing-masing.
Ketua Pengarah JTKSM, Asri Ab Rahman berkata, syarikat terbabit berdepan sebanyak 63 pertuduhan daripada 21 kertas siasatan sudah dibuka sejak akta itu dikuatkuasa September lalu bagi menyiasat ketidakpatuhan yang meliputi pelbagai subsektor ekonomi.
Malah sebanyak 19 kertas siasatan dibuka membabitkan enam kumpulan syarikat Top Glove dan pihaknya akan mengambil tindakan lanjut merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya. – HARAKAHDAILY 17/12/2020