Bapa tikam bayi 20 bulan dihukum penjara 10 tahun

- Advertisement -

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas seorang bapa kerana menikam perut anak perempuannya yang berusia 20 bulan dengan sebilah pisau berukuran 13 inci sehingga menyebabkan mangsa cedera parah.

Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Safwan Shafie, 27, selepas dia mengaku bersalah cuba membunuh anaknya dengan cara menikam mangsa sehingga mengakibatkan luka sepanjang 5 sentimeter (cm) di bahagian perut.

Mahkamah memerintahkan tertuduh, yang merupakan pekerja kedai aksesori kereta, menjalani hukuman penjara itu bermula pada 12 Disember lepas.

- Advertisement -

Semasa dibawa masuk ke kandang tertuduh pada 10.30 pagi, Muhammad Safwan dilihat hanya mendiamkan diri dan sesekali memandang ke belakang ke arah ibunya yang berada di galeri awam. 

Ketika ditunjukkan gambar mangsa serta tempat kejadian oleh polis mahkamah untuk tujuan pengecaman, tertuduh tidak dapat menahan air matanya daripada gugur sebelum menangis teresak-esak dan berkata “Saya akui.”

Muhammad Safwan didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit di Flat Puchong Permai, Puchong di sini pada 4:30 petang 12 Disember lepas mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun. 
 
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia sudah insaf.

“Saya mohon hukuman serendah-rendahnya,” katanya sambil menangis.

Timbalan Pendakwa Raya Shanur Farrahin Shapri pula memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat dan mengambil kira faktor bahawa kesalahan yang dilakukan tertuduh amat serius selain mangsa adalah anaknya.

“Sebagai seorang bapa, tertuduh seharusnya menjadi pelindung kepada mangsa namun dalam kes ini, dia malah bertindak sebagai pelaku.

“Luka sepanjang 5 cm yang dialami mangsa adalah serius dan boleh menyebabkan kematian. Mangsa berkenaan ditinggalkan kepada tertuduh kerana percaya beliau boleh menjaga mangsa. 

“Pihak pendakwaan memohon hukuman yang sangat berat memandangkan tertuduh adalah bapa kepada mangsa selain kes ini melibatkan kepentingan awam,” katanya. 
 
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, polis menerima aduan mengenai seorang lelaki sedang mengamuk dan memegang sebilah pisau sebelum mengunci pintu rumah serta mengurung dirinya bersama mangsa.

Pihak polis terpaksa bertindak memotong mangga pada jeriji pintu rumah dengan keizinan ibu tertuduh dan meminta Muhammad Safwan menyerah diri namun dia enggan berbuat demikian.

Ketika tangkapan dibuat, berlaku pergelutan antara tertuduh dengan lapan anggota polis sebelum polis merampas pisau yang digunakan untuk mencederakan mangsa yang ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah di atas lantai di bahagian dapur.

Ketika itu, mangsa masih dalam keadaan sedar tetapi tidak menangis.

Pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan serius iaitu luka sepanjang 5 cm di bahagian kanan perut sehingga ke pusat dan lebam pada hidung. – BERNAMA

- Advertisement -