Pulau Pinang perlu teroka sumber air alternatif

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyeru Kerajaan Negeri Pulau Pinang meneroka sumber air alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber air sedia ada.

- Advertisement -

Ia bertujuan bagi kegunaan industri pada masa hadapan selain sebagai jaminan sumber air buat rakyat negeri itu.

Justeru itu, Menterinya, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan kepada kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mewartakan sebahagian kawasan sebagai kawasan tadahan air.

Hal ini kerana, Pulau Pinang masih belum mewartakan mana-mana kawasan sebagai kawasan tadahan air berbanding negeri-negeri lain.

“Pulau Pinang perlu juga sama-sama meneroka sumber air alternatif seperti air pulih guna daripada pembentungan yang disasarkan oleh pihak KASA sebanyak 1,500 juta liter sehari air pulih guna dari teknologi kumbahan menjelang 2030 untuk kegunaan industri.

“Demikian juga kita harapkan kerajaan Pulau Pinang dapat meneroka kawasan-kawasan sumber air bawah tanah dalam usaha mengurangkan pergantungan kepada sumber sedia ada.

“Sebanyak 3,398.94 hektar dicadang untuk diwartakan sebagai kawasan tadahan air, dan untuk makluman Dewan Yang Mulia, Pulau Pinang belum wartakan sikit pun darinya,” ujarnya

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang diajukan oleh Chow Kon Yeow [DAP-Tanjong] yang meminta Tuan Ibrahim [PAS-Kubang Kerian] menjelaskan lokasi 25,000 hektar yang diwartakan Kedah sebagai kawasan tadahan air, di Dewan Rakyat, hari ini.

Tuan Ibrahim dalam masa sama merakamkan penghargaan kepada negeri-negeri yang telah mewartakan sebahagian kawasan sebagai kawasan tadahan air seperti Kedah sebanyak 100 peratus daripada 110,000 kawasan.

Johor (99.47 peratus), Melaka (100 peratus), Negeri Sembilan (100 peratus), Pahang (100 peratus), Perlis (100 peratus), Selangor (100 peratus), Terengganu (100 peratus), Perak (54.12 peratus) dan Kelantan (99.2 peratus). – HARAKAHDAILY 15/12/2020

- Advertisement -