Lahirkan Muslim yang menjadi duta kepada Islam

Kemampuan tahap Pendidikan Negara boleh dipertingkatkan lagi

- Advertisement -

BEKAS Menteri Pendidikan berbahas soal pendidikan. Banyak perkara teknikal. Perbahasan yang baik. Pada perspektif saya sebagai warga pendidik juga, sistem pendidikan kita tidak gagal dalam melahirkan ramai tenaga-tenaga mahir dalam segala bidang kehidupan. Buktinya kemahiran anak bangsa kita ditagih hingga ke peringkat Antarabangsa.

Apa yang masih kurang adalah, kemampuan anak bangsa kita khususnya yang Muslim untuk menjadi duta kepada agama sendiri. Bukan tidak ada tetapi kuantitinya sangat minima.

Dengan keadaan negara-negara umat Islam yang dibelenggu berbagai masalah, negara kita antara yang paling stabil. Islam perlukan pembelaan umatnya, namun saya tidak nampak negara-negara di Asia Barat untuk bangkit. Jauh sekali negara lain yang minoriti.

- Advertisement -

Secara peribadi saya nampak potensi umat Islam di Malaysia untuk mengambil baton kebangkitan Islam. Namun ia perlu diasuh secara sistematik. Didikan dari peringkat sekolah perlu diberikan. Kebangkitan Islam tidak akan berlaku secara kun fayakun. Sunnah perjuangan Islam menunjukkan pejuangnya dilahirkan dalam proses tarbiyah yang rapi.

Atas kesedaran ini, saya berusaha untuk mewujudkan teks-teks pengisian yang perlu dihadam oleh anak didik umat Islam. Pengalaman belajar dan mengajar di Maahad Darul Quran (MDQ), Rusila membuatkan saya nampak kepentingan proses ini. 

Manhaj tarbiyah MDQ yang digagaskan oleh Ulamak Negarawan seperti Tuan Guru Abdul Hadi Awang terbukti mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja celik agama, tapi tahu menguruskan dunia. Kini anak didik MDQ berada di segenap ruang. Mereka wujud di badan Legislatif, Eksekutif dan Kehakiman. Wakil rakyat, birokrat, pendidik, usahawan, peguam, pemimpin dan sebagainya. Semuanya bermula dari pengisian tarbiyah MDQ.

‘Membina Generasi Kebangkitan Islam’, inilah karya yang menghimpunkan pendidikan Amal Islami kepada generasi akan datang. Berasaskan model tarbiyah MDQ, ia disesuaikan untuk kegunaan yang lebih meluas di institusi pendidikan lain. 

70 tajuk dibahagikan kepada 7 bahagian atau peringkat, bermula dari sekecil-kecil tajuk seperti Sayangi Ibubapa, Menghormati Guru, Kebersihan di Dalam Islam hinggalah tajuk-tajuk sebesar Islam dan Politik, Kesatuan Pemikiran, Ideologi Moden dan Tanggungjawab Mahasiswa.

Sebelum bermula sesi baharu pembelajaran 2021, eloklah pemegang taruh di sekolah-sekolah mempertimbangkan untuk membekalkan pengisian tarbiah kepada anak didik mereka. Ajar mereka kenal usrah dan perbincangan ilmu dari bangku sekolah. Gunakan buku ini sebagai panduan pengisian.

Walaupun mungkin kita tidak sempat melihat zaman Khilafah Islamiah tertegak kembali, mudah-mudahan kita menjadi batu-bata untuk melahirkan generasi yang akan menegakkannya. Akhirat nanti, moga kita dihimpunkan bersama para pejuang Islam di syurga Firdaus seperti sabda Rasulullah S.A.W:

إِنَّ فِي الْجَنَّةِ مِائَةَ دَرَجَةٍ أَعَدَّهَا اللَّهُ لِلْمُجَاهِدِينَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ مَا بَيْنَ الدَّرَجَتَيْنِ كَمَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ فَإِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ تَعَالَى فَاسْأَلُوهُ الْفِرْدَوْسَ 

“Syurga memiliki 100 tingkat dengan jarak antara setiap tingkat seperti langit dan bumi. Allah sediakan bagi pejuang di jalan Allah. Jika kamu memohon daripada Allah, maka pohonlah syurga Firdaus.” 

[Hadis Riwayat Bukhari]

ALANG IBN SHUKRIMUN
30 Rabiul Akhir 1442
15 Disember 2020 – HARAKAHDAILY 15/12/2020

- Advertisement -