Penyelarasan projek Persekutuan bawah GLC Kedah

- Advertisement -

SAYA telah dikirimkan satu ‘print screen whatsapp’ yang ditular, antara Menteri Kewangan dan Menteri Penyelaras Kedah-Persekutuan, (Dato’ Takiyuddin Hassan). Ia berkisar mengenai penglibatan anak syarikat Kerajaan Negeri Kedah (GLC) Bina Darulaman Berhad dalam projek Loji Rawatan Air (LRA) Plubang.

Proses ini telah berjalan begitu lama, sejak 2018 lagi. Daripada lima LRA yang akan dibina di Kedah dalam masa terdekat, empat (4) LRA ditender secara terbuka memandangkan ia adalah geran Persekutuan. 

- Advertisement -

Satu (1) LRA diberi secara rundingan terus kepada BDB kerana LRA Plubang dibiayai secara pinjaman Kerajaan Kedah kepada Persekutuan. Amalan ini adalah normal memandangkan pendapatan anak-anak syarikat kerajaan (GLC) akan digunakan semula untuk membantu kerajaan negeri melaksanakan program-program kerajaan. BDB pula akan melantik syarikat kerjasama dan kontraktor daripada pelbagai kepakaran dan keupayaan (kewangan dan teknikal) untuk melaksanakan projek-projek yang diperolehi, sekiranya perlu.

Dalam kaedah perolehan sebelum ini, bagi projek-projek yang dilaksanakan secara pinjaman, kerajaan negeri berhak mengeluarkan surat kelulusan (LA) kepada pihak yang terpilih. Sementara itu untuk projek-projek secara geran, LA akan dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Memandangkan dasar Kerajaan Pusat mengenai kaedah perolehan projek telah berubah, kerajaan negeri terpaksa mendapat kelulusan Kementerian Kewangan juga walaupun ia adalah projek dibiayai secara pinjaman. 

Maka beberapa surat dan dokumen berkaitan telah dihantar oleh kerajaan negeri untuk semakan dan kelulusan Menteri Kewangan beberapa minggu lalu. 

Memandangkan masa semakin suntuk untuk LRA Plubang disegerakan bagi menjamin bekalan air ke beberapa daerah tidak mengalami krisis, maka saya memohon bantuan Menteri Penyelaras Kedah-Persekutuan (Dato’ Takiyuddin) untuk memeriksa status permohonan Kedah itu dengan Menteri Kewangan.

Dalam pada itu, Taliwork yang baru tamat konsesi 25 tahun pengurusan air di Langkawi turut memohon projek tersebut dilaksanakan oleh BDB secara usahasama (jv) dengan syarikat mereka. Permohonan mereka telah dikemukakan terus kepada Kerajaan Persekutuan. 

Oleh itu, MOF memaklumkan kepada Menteri Penyelaras tentang hasrat Taliwork untuk menjadi rakan jv BDB. Hal itu disampaikan pula oleh Menteri Penyelaras kepada Kerajaan Negeri Kedah. 

Oleh kerana BDB telah selesai melantik kontraktor dan rakan jv bagi projek LRA Plubang sejak bulan Ogos lagi, malah telah melaksanakan majlis pecah tanah bagi projek itu, maka kerajaan negeri mencadangkan Taliwork boleh dipertimbangkan untuk bekerjasama dalam projek akan datang, antaranya projek LRA ke Langkawi yang telah diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan beberapa tahun lalu. 

Walau bagaimanapun, ia tetap tertakluk kepada kaedah dan proses perolehan kerajaan yang ditentukan oleh Persekutuan (tender terbuka atau rundingan terus dengan GLC).

Berkaitan LRA Plubang yang diberikan kepada BDB, saya telah mengumumkannya dalam Sidang DUN yang lalu, secara telus dan terang. Ia bukanlah langkah baru, malah telah dipersetujui sejak tahun 2018 lagi. Tiada apa-apa yang pelik dan tersembunyi mengenai perolehan itu. 

Saya berpendapat, ‘print screen’ antara MOF dan Menteri Penyelaras itu sengaja ditular dalam konteks yang salah untuk membina perpektif buruk kepada Kerajaan Perikatan Nasional dan pemimpin kerajaan hari ini. Ia adalah tabiat buruk pihak-pihak berkepentingan yang kecewa dan kelemasan.

Sekian.

YAB MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Menteri Besar Kedah
14 Disember 2020 – HARAKAHDAILY 14/12/2020

- Advertisement -