RM60 juta peruntukan bina Pavilion, bukan libat penyertaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peruntukan RM1.95 juta adalah khusus untuk program pameran dan seminar-seminar di peringkat antarabangsa, ia tidak termasuk dalam bajet RM60 juta yang diperuntukkan di peringkat awal.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, RM60 juta diperuntukkan itu adalah bagi pembinaan Pavilion yang ada bukan melibatkan penyertaan.

- Advertisement -

“Peruntukan tersebut adalah tentang pengurusan, pembinaan, pemantauan, termasuk juga pengurusan kakitangan yang akan berulang alik melibatkan pelbagai pihak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian membahas usul Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) bagi mengurangkan RM1.95 juta yang diperuntukkan di bawah Belanjawan 2021 untuk penyertaan Malaysia dalam Expo 2020 Dubai di Dewan Rakyat, hari ini.

Maria Chin melihat bahawa peruntukan itu harus dikurangkan dari anggaran kerana beliau difahamkan bahawa Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (Mastec) sebelumnya sudah diperuntukkan RM60 juta untuk membina Pavilion Malaysia.

“KASA tidak memerlukan peruntukan ini dan boleh disalurkan kepada kementerian-kementerian lain yang memerlukan dana,” katanya ketika membahaskan usul di Dewan Rakyat pada hari ini.

Maria Chin mencadangkan agar peruntukan diberikan kepada Kementerian Kesihatan untuk membantu pesakit yang mengalami penyakit kritikal.

M. Karupaiya (PH-Padang Serai), yang menyokong usul Maria, mengatakan tidak ada keperluan untuk melakukan perjalanan ke luar negeri pada masa ini untuk pameran tersebut memandangkan pandemik Covid-19.

“Lebih baik menjimatkan wang dan menggunakannya untuk memerangi Covid-19. Kita harus lebih berhati-hati memandangkan ekonomi yang tidak begitu stabil,” tambahnya.

Bagaimanpun, usul Maria Chin kemudian ditolak menerusi undian suara di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata pameran itu awalnya dijadualkan pada Oktober 2020 hingga April 2021, ditangguhkan ke Oktober 2021 hingga Mac 2022 kerana ancaman Covid-19. – HARAKAHDAILY 8/12/2020

- Advertisement -