JKSM dipisahkan secara sistematik dan teratur

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan memisahkan jawatan Ketua Pengarah dan Ketua Hakim di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang telah dapat dilaksanakan secara sistematik, teratur dan efisien.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, tindakan ini diputuskan setelah berunding dengan Pihak Berkuasa Negeri dan mendapat perkenan dari Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Raja di Negeri-negeri berkenaan termasuk di Wilayah-wilayah Persekutuan, Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie JKSM.

- Advertisement -

“Pada lazimnya semasa bersidang bersama Panel Hakim Rayuan yang lain akan dilantik sebagai Pengerusi Sidang Rayuan di Mahkamah Syariah Negeri-negeri tersebut,” katanya ketika menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman [PAS-Sik] meminta kerajaan menyatakan rancangan untuk memisahkan kedua jawatan JKSM iaitu Ketua Pengarah (menumpukan hal pentadbiran Mahkamah) dan Ketua Hakim (menumpukan aspek kehakiman syarie).

Dalam pada itu, Zulkifli turut memaklumkan bahawa pendengaran kes-kes rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah Negeri-negeri oleh panel Hakim-hakim Rayuan dari JKSM dapat membantu ke arah keseragaman dari segi keputusan, pemakaian undang- undang substantif dan prosedural yang betul dan tepat serta menjadi panduan kepada Mahkamah-mahkamah bawahan.

“Ini disebabkan Mahkamah Rayuan Syariah merupakan hierarki mahkamah Syariah yang tertinggi dalam sistem kehakiman Syariah di Negeri-negeri dan Wilayah-wilayah Persekutuan,” katanya.

Justeru, kerajaan akan meneruskan mekanisme untuk memperkasakan Sistem Kehakiman Syariah melalui pertambahan hierarki Mahkamah Syariah daripada tiga peringkat sedia ada.

Oleh itu, usaha ini akan meletakkan Mahkamah Syariah seperti juga Mahkamah Sivil di mana urusan kehakiman diketuai oleh Ketua Hakim Negara manakala urusan pentadbiran mahkamah diketuai oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan. – HARAKAHDAILY 8/12/2020

- Advertisement -