Potensi REE dan impak terhadap alam sekitar

- Advertisement -

BACHOK: Pengumuman penemuan rizab Logam Nadir Bumi atau Rare Earth Element (REE) oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor di kawasan Sik, kawasan Ulu Muda, Baling serta sedikit di Lenggong, Perak, sejak beberapa hari lalu mengundang pelbagai spekulasi di media massa dan media sosial termasuklah kritikan bertali arus yang dihalakan kepada kerajaan negeri.

Spekulasi sama turut menghentam dan membidas tanpa asas susulan daripada keputusan Kerajaan Kedah yang dikatakan telah pun meluluskan permit kepada sebuah syarikat tempatan bagi menjalankan aktiviti penerokaan mineral REE di negeri itu.

Keputusan itu menyebabkan pelbagai persepsi oleh masyarakat sekiranya perlombongan REE dilaksanakan yang menyebabkan berlakunya penerokaan tanah dan pembalakan secara haram serta pencemaran alam ekoran kesan daripada aktiviti melombong REE secara besar-besaran.

- Advertisement -

Disebalik spekulasi oleh netizen, ramai di antara kita sendiri tidak faham definisi, maksud dan bentuk logam nadir bumi atau REE yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit ini.

Pensyarah Kanan di Jabatan Teknologi Tenaga, Mineral dan Bahan, Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi (FBKT) UMK, Ts. ChM. Dr. Abdul Hafidz Yusoff, menyifatkan REE merupakan logam bersifat kimia yang unik di mana ia terdiri daripada 17 elemen yang mempunyai sifat elektromagnetik yang tinggi dan boleh dibahagikan kepada logam nadir bumi radioaktif dan bukan radioaktif.

Katanya, REE pada hari ini telah digunakan sebagai komponen utama bagi perkakasan elektronik untuk industri utama menghasilkan telefon pintar, tablet, komputer, TV pintar dan sebagainya.

“Secara umumnya, REE adalah unsur penting kepada industri digital abad ini yang menjadi teras kepada ledakan industri 4.0. Permintaan kepada peralatan berteraskan teknologi digital yang tinggi telah menyebabkan permintaan kepada REE turut meningkat.

“Negara China merupakan pengeksport utama REE di dunia dan dianggarkan 90 peratus dari keseluruhan REE dunia adalah dikeluarkan oleh negara berkenaan. Lebih menarik, Amerika Syarikat merupakan pengimport utama REE dari China sejak tahun 2014,” katanya yang juga Pengarah Bahagian Pengurusan Penyelidikan di UMK.

Menurut Dr. Abdul Hafidz, dalam kajian terkini menunjukkan sumber REE di negara China semakin berkurangan dan dunia mula mencari sumber alternatif REE di negara lain. Justeru, Malaysia kini menjadi sasaran memandangkan ia mempunyai rizab REE yang banyak dan mampu menampung pemintaan industri untuk satu tempoh yang panjang.

“Rizab REE di seluruh negara dianggarkan bernilai RM742.7 bilion dan sejumlah rizab REE bernilai RM62 bilion terletak di Negeri Kedah. Kerajaan Negeri Kedah pula telah mengumumkan untuk mengkaji dan melombong REE tidak beradioaktif di Negeri Kedah.

“Langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri Kedah adalah satu inisiatif yang baik bagi mengembangkan industri perlombongan REE ini khususnya bagi menambahkan sumber ekonomi negeri. Namun, langkah-langkah dan kaedah perlombongan yang akan digunakan nanti perlu mengambil kira kesan terhadap alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, Dr. Abdul Hafidz berkata terdapat dua kaedah perlombongan konvensional yang diamalkan di Malaysia iaitu perlombongan permukaan dan perlombongan bawah tanah di mana kedua-dua kaedah ini biasanya diamalkan oleh pelombong-pelombong bagi mendapatkan bahan galian seperti bijih timah dan emas.

Katanya, terdapat satu lagi kaedah bagi mendapatkan REE tanpa melalui kaedah perlombongan biasa iaitu In Situ Leaching (ISL) atau juga dikenali sebagai Proses Larut Resap In Situ.

“Melihat kepada taburan REE, kaedah ISL lebih sesuai dilakukan memandangkan kebanyakan REE berada pada kedalaman di antara 5 hingga 10 meter di bawah permukaan bumi,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa kaedah perlombongan secara ISL, menggunakan beberapa batang paip dimasukkan ke dalam tanah dan cecair larut resap yang terdiri daripada asid atau Ammonium Sulfat atau cecair larut resap yang lain dialirkan ke dalam lapisan tanah.

“Tujuan utama penggunaan cecair larut resap adalah untuk memisahkan REE daripada tanah di kawasan perlombongan. Proses pengasingan REE daripada tanah ini dikenali sebagai penjerapan ion.

“Ion Ammonium akan menggantikan struktur REE di dalam tanah dan menjadikan REE yang terasing berada di dalam fasa larutan. Apabila REE sudah berada di dalam fasa larutan ia akan dikeluarkan dan diasingkan secara lebih khusus di fasiliti perlombongan di atas tanah,” katanya.

Menurut Dr. Abdul Hafidz, perkembangan industri perlombongan REE telah menjadikan kaedah ISL sangat popular bagi pengekstrakan REE dan kaedah ini telah lama diamalkan di China.

“Sebagai contoh keadaan alam sekitar di wilayah Selatan China seperti di Jiangxi, Guangdong, Fujian telah mengalami kerosakan yang teruk apabila pelombong-pelombong menggunakan asid kuat yang berkepekatan pH 1 bagi mengasingkan REE daripada tanah.

“Bagi pelombong-pelombong yang tamak, penggunaan asid kuat sebagai ejen larut resap adalah yang terbaik kerana kadar penghasilan REE hampir 100 peratus. Namun, penggunaan asid kuat ini mampu merosakkan struktur tanah, dan terdapat kemungkinan ia akan memasuki sistem air bawah tanah dan merosakkan sistem akuatik berhampir.

“Disebabkan kesan yang buruk kepada alam sekitar, Kerajaan China telah mengharamkan penggunaan asid kuat di dalam kaedah perlombongan ISL dan digantikan dengan penggunaan Ammonium Sulfat,” katanya.

Bagaimanapun, di Malaysia terdapat peruntukan undang-undang yang diselia oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) yang bertanggungjawab memantau dan merancang aktiviti berkaitan perlombongan REE.

“Pihak JMG tidak membenarkan penggunaan asid pekat dalam perlombongan REE bagi memelihara alam sekitar.

Selain itu, pihak bertanggungjawab seharusnya menjalankan kajian terperinci sebelum memberikan kelulusan bagi aktiviti perlombongan ini dengan melihat kesan-kesan langsung daripada aktiviti perlombongan yang bakal dijalankan,” katanya.

Selain pihak JMG, terdapat juga beberapa pusat kajian yang boleh dirujuk bagi mengkaji berkaitan REE seperti Pusat Kajian Logam Nadir Bumi, Emas dan Mineral Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Pusat Kajian Nadir Bumi di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

“Justeru, adalah menjadi keperluan agar kajian terperinci dilakukan sebelum proses perlombongan ini dijalankan.

“Sebagai masyarakat kita mengharapkan sebarang langkah yang diambil oleh pemegang-pemegang taruh yang akan terlibat di dalam industri ini akan meletakkan kepentingan alam sekitar dan masyarakat awam sebagai asas yang paling utama dan tidak boleh dikompromi,” katanya.

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Teknologi Tenaga, Mineral dan Bahan, Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi dan Pengarah Bahagian Pengurusan Penyelidikan Universiti Malaysia Kelantan.

SUMBER: Pusat Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Encik Mohd Adzwan Bin Kamaruzaman
Tel: 0199811719
Emel: [email protected]
Nama: Syarimie Wosley
Tel: 019 9681001
Emel: [email protected]BERNAMA

- Advertisement -