Pencarum KWSP: Kegelisahan kewangan perlu dibantu

People’s lives are forever controlled by two emotions: fear and greed – Robert Kiyosaki

Apabila kita berhadapan dengan dua situasi ini, kemungkinan besar kita sukar untuk membuat keputusan dengan rasional, iaitu:

Advertisement
  1. Tiada wang
  2. Banyak wang

Situasi pertama boleh berlaku apabila kita diberhentikan kerja atau kehilangan pendapatan, sehingga berasa buntu dan gelisah untuk meneruskan kehidupan. Situasi kedua boleh berlaku apabila kita menerima sejumlah wang yang besar sekaligus (lump-sum), sehingga berasa teruja dan tidak tahu ke mana harus dibelanjakan.

Kita sebagai pengguna, khususnya pencarum KWSP, akan berdepan dengan kegelisahan ini (financial anxiety). Ini kerana setiap kita akan didorong oleh dua naluri kemanusiaan apabila hendak membuat sesuatu keputusan kewangan, iaitu:

  1. Takut (Fear)
  2. Tamak (Greed)

Apabila kita didorong oleh elemen ‘fear and greed’, kemungkinan besar kita akan hilang pertimbangan dalam membuat keputusan kerana dipandu oleh perasaan cemas, buntu dan gelisah, sehingga boleh membawa kepada tekanan perasaan (stress) dan kemurungan (depression).

Justeru setiap pengguna, khususnya pencarum KWSP, perlu dibantu secara bersepadu apabila berdepan dengan situasi ‘kegelisahan kewangan’, kerana mereka berkemungkinan sukar untuk membuat keputusan kewangan dengan rasional dan berhemah.

Dibantu secara bersepadu

Selain kemudahan untuk mengeluarkan simpanan KWSP secara berperingkat ataupun sekaligus (lump sum), ianya perlu disekalikan dengan ‘pakej pelengkap’ melibatkan kesedaran kewangan, nasihat kewangan dan bantuan kewangan secara bersepadu.

Antara pakej pelengkap (complementary package) yang boleh ditawarkan kepada pengguna, khususnya pencarum KWSP adalah:

  1. KWSP – pemakluman kepada pencarum, simulasi nilai simpanan terkumpul pada usia 55 tahun (future value), sekiranya pencarum mengeluarkan sejumlah wang pada hari ini, di samping urusan pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar yang dipermudahkan.
  2. AKPK – penawaran khidmat nasihat kewangan, pendidikan kewangan, kaunseling kewangan, dan rundingan pengurusan kredit kepada peminjam yang terjejas, khususnya pencarum KWSP yang mengeluarkan Akaun 1.
  3. MOF – pemudahcara kepada rakyat, pekerja dan peniaga yang terjejas untuk memanfaatkan segala bantuan kewangan dalam Belanjawan dan Pakej PRIHATIN (portal Manfaat Belanjawan 2021).
  4. BNM – penangguhan bayaran pinjaman (moratorium) yang ditawarkan oleh institusi perbankan secara bersasar kepada kelompok B40 dan M40.
  5. MOH – penawaran khidmat kaunseling dan panduan kesihatan mental yang komprehensif kepada pekerja dan peniaga yang berhadapan masalah kewangan akibat COVID-19 (portal MyHealth).

Justeru semua pihak perlu dibantu secara bersepadu, supaya dapat membuat pertimbangan yang rasional dan berhemah dalam tempoh yang amat mencabar ini.

Situasi kita tidak sama

Berbalik kepada polemik KWSP, jelaslah bahawa rakyat sedang berhadapan dengan situasi ekonomi yang amat terdesak, sehingga terpaksa untuk ‘mengusik’ simpanan hari tua demi meneruskan kehidupan pada hari ini.

Kepada 8 juta pencarum KWSP, sebaiknya dapatkan nasihat kewangan terlebih dahulu sebelum mengeluaran simpanan KWSP. Manfaatkan segala bantuan kewangan yang disediakan (Belanjawan, Moratorium, Prihatin, Penjana, Zakat), serta amalkan disiplin kewangan.

Kepada KWSP dan Kerajaan, pastikan kebajikan setiap pencarum terbela, untuk keperluan hari ini dan keperluan di hari tua.

Syahir Sulaiman
5 Disember 2020, Kuala Lumpur – HARAKAHDAILY 5/12/2020