PAS Sabah sasar agih 20,000 bakul makanan

Dr.Aliakbar (tengah), Ahmad (kiri) dan Usman (kanan) semasa majlis penyampaian sumbangan.
- Advertisement -

TAWAU: PAS Sabah menyasarkan sebanyak 20,000 agihan bakul makanan untuk membantu penduduk di negeri ini yang terjejas susulan pandemik Covid-19.

- Advertisement -

Setiausaha PAS Sabah, Dr. Aliakbar Gulasan berkata setakat ini agihan yang sudah diberikan lebih 6,000 pek bakul makanan kepada penduduk yang sudah dikenal pasti.

“Pada kali ini, giliran daerah Tawau dan Kalabakan yang akan menerima bantuan tersebut dianggarkan lebih 130 pek makanan dan selepas itu kita akan ke Semporna, Kunak, dan Lahad Datu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Sentuhan Kasih Jelajah Pantai Timur di Kampung Pasir Putih di sini, semalam.

Mengulas lanjut, katanya program tersebut merupakan dana daripada PAS Sabah sendiri dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) serta peruntukan kerajaan negeri.

“Minggu depan jelajah serupa akan dilaksanakan di daerah Ranau, Pitas serta kawasan-kawasan sekitarnya dan siri bantuan itu akan terus dijalankan dari semasa ke semasa.

“Tujuan program sentuhan kasih ini dibuat supaya semua pihak dapat bersama-sama membantu meringankan beban penduduk terutamanya mereka yang terkesan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik berkata, pihaknya juga akan meneruskan kerja kebajikan dengan menyantuni penduduk yang terputus bekalan makanan.

“Kebajikan rakyat sentiasa menjadi fokus utama PAS Sabah dan kerajaan negeri, malah kita turut menjaga hubungan baik bersama NGO bagi memudahkan segala bentuk program bantuan kepada golongan fakir dan asnaf,” katanya.

Turut hadir dalam program itu Ketua Penerangan PAS Sabah merangkap Yang Dipertua PAS Kalabakan, Ahmad Dullah, Naib Yang Dipertua PAS Usman Madeaming dan Ahli Jawatan Kuasa PAS Kalabakan. – HARAKAHDAILY 5/12/2020

- Advertisement -