PADA tanggal 27 November 2020 lalu, ibu kota Iran, Tehran dikejutkan dengan satu serangan ke atas salah seorang saintis nuklear terkemuka Iran yang telah mengorbankan nyawanya dan beberapa orang pengawal peribadinya.
Mohsen Fakhrizadeh adalah saintis terkemuka Iran dan disifatkan sebagai ‘bapa teknologi nuklear Iran’ kerana peranannya dalam membangunkan teknologi nuklear Iran.
Sejurus selepas pembunuhan tersebut berlaku, Iran dengan serta merta menuding jari ke atas Israel dan talibarutnya yang berada di dalam dan di luar Iran bertanggungjawab ke atas insiden tersebut.
Ini adalah kerana operasi yang dijalankan begitu rumit dan senjata yang digunakan begitu canggih di mana hanya beberapa negara yang mempunyainya mahupun berupaya menjalankan operasi sedemikian rupa.
Mengikut Ketua Keselamatan Iran, Ali Shamkhani operasi ini dikawal oleh alat kawalan jauh melalui satelit dan drone yang canggih. Ini menguatkan lagi teori Israel yang menjadi dalang di sebaliknya dan ditambah lagi dengan tidak ada sebarang penafian dari pihak Israel sendiri.
Dalam laporan akhbar arus perdana Israel The Haaretz, memetik temuramah akhbar The New York Times dengan seorang pegawai Israel mengatakan bahawa dunia seharusnya berterima kasih kepada Israel kerana membunuh Mohsen Fakhrizadeh.
Malah CNN pada 2 Disember lalu turut memuatkan dalam laporannya bahawa seorang pegawai tertinggi pentadbiran Amerika Syarikat yang tidak dinamakan memberitahu Israel adalah dalang di sebalik pembunuhan ini.
Dengan ini bolehlah disimpulkan berkemungkinan besar bahawa Israel adalah dalang di sebalik pembunuhan Mohsen Fakhrizadeh berdasarkan laporan-laporan tersebut malahan Israel sememangnya mempunyai keupayaan dan teknologi untuk melakukannya.
Pembunuhan ini dikecam banyak negara termasuk oleh bekas Pengarah CIA, John Brennan yang menganggap ianya satu tindakan yang melanggar undang-undang antarabangsa dan mengundang bahaya serta mewujudkan provokasi yang mampu mencetuskan pertembungan yang lebih besar di Timur Tengah.
Kementerian Luar Turki dalam satu kenyataan mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan ini. Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah pula menegaskan pembunuhan ini sangat terkutuk dan melanggar undang-undang antarabangsa serta turut menghantar ucapan takziah kepada Kedutaan Iran di Malaysia.
Kenyataan beliau ini disokong oleh YB Haji Amzad Hashim, Timbalan Menteri Sains Dan Teknologi yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu dengan menyatakan bahawa ia adalah satu tindakan keganasan kerana menyasarkan seorang awam dan juga salah seorang saintis terkemuka dunia.
Ini bukan kali pertama berlakunya pembunuhan ke atas saintis-saintis Iran sama ada dalam mahupun di luar Iran. Dalam tempoh beberapa tahun ini tidak kurang daripada lima orang saintis Iran yang telah dibunuh dan beberapa orang lagi diculik termasuk salah seorangnya yang diculik di Arab Saudi ketika menunaikan ibadah haji beberapa tahun lepas.
Di antara mereka yang dibunuh adalah Masoud Alimohammadi, Majid Shahriari, Darioush Rezaeinejad dan Mostafa Ahmadi Roshan termasuk Mohsen Fakhrizadeh yang dibunuh baru-baru ini. Seorang lagi saintis, Fereyddon Abbas hampir-hampir maut dalam cubaan membunuhnya pada tahun 2010 namun mengalami kecederaan parah.
Kebanyakkan daripada mereka ini tidak termasuk Mohsen Fakhrizadeh dibunuh di antara 2010-2012 termasuk cubaan membunuh ke atas Fereydoon Abbas. Masoud Alimuhammadi dan Majid Shahriari dibunuh dengan meletupkan bom magnetik yang diletakkan di bawah kenderaan mereka.
Darioush Rezaienejadi ditembak mati manakala Mostafa Ahmadi Roshan terbunuh dalam letupan yang disasarkan ke atas motosikalnya. Pada 2011 dan 2012, Iran telah menahan beberapa rakyatnya yang telah melakukan pengintipan mahupun pembunuhan bagi pihak Mossad, badan perisikan Israel.
Malah ketika itu NBC, stesen televisyen arus perdana Amerika Syarikat melaporkan dua pegawai Amerika Syarikat mengesahkan bahawa People Mujahedin of Iran atau MEK telah dibiayai, dilatih dan diberikan kelengkapan senjata untuk membunuh saintis Iran namun kemudiannya dinafikan oleh seorang pegawai kanan Jabatan Negara Amerika Syarikat.
Sebenarnya pembunuhan yang berlaku ini tidaklah pelik kerana sudah ada petunjuk-petunjuk ke arah itu dan ramalan-ramalan yang telah dibuat khususnya ekoran kekalahan Donald Trump dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat baru-baru ini.
Kekalahan Donald Trump turut bermakna akan tamatlah tali hayat Israel kerana Donald Trump adalah pendukung kuat Israel dengan polisi-polisinya yang begitu kuat menekan Iran dan memberikan banyak kelebihan kepada Israel.
Beberapa penganalisa politik Timur Tengah meramalkan Donald Trump akan melakukan sesuatu yang di luar dugaan dalam tempoh berbaki kuasanya sebagai Presiden Amerika Syarikat termasuk dengan menyerang kepentingan-kepentingan Iran sesuai dengan prinsipnya yang mendukung Israel dan keras terhadap Iran.
Persoalan yang sedang berlegar sekarang ini ialah, bagaimanakah jenis tindakan yang akan dilakukan oleh Iran terhadap Israel mahupun sekutu-sekutunya khususnya Amerika Syarikat. Untuk menjawab persoalan ini perlu dilihat kepada beberapa sudut seperti faktor dorongan politik dalaman Iran dan kesan-kesan di sebalik tindak balas yang bakal dilakukan.
Perlu difahami, Iran mempunyai dua arus politik yang berbeza dari segi pendekatan. Namun kedua-dua kumpulan ini tidak bertembung sama sekali dalam menghadapi musuh yang sama iaitu Israel dan Amerika Syarikat.
Golongan konservatif yang menjadi teras kepada Republik Islam Iran seperti Ayatullah Khamanei dan Pengawal Revolusi Iran menyeru agar diserang kepentingan-kepentingan Israel dan bersedia dengan senario paling teruk iaitu perang terbuka dengan Israel.
Golongan kedua pula ialah reformis yang didukung oleh Presiden Iran Hassan Rouhani, Menteri Luar Mohammad Javed Zaref dan lain-lain lebih cenderung dengan hanya perang diplomasi untuk mengelak dari berperang secara terbuka dengan Israel mahupun Amerika Syarikat.
Kebanyakkan daripada cetusan peperangan diplomasi yang dicetuskan oleh golongan reformis seperti mengutuk dan mengecam Israel serta tindakannya serta menggunakan saluran diplomasi dengan menekan PBB supaya mengenakan tindakan ke atas Israel.
Ketika ini, terdapat beberapa penganalisa geopolitik dunia berpendapat Iran patut mengelak berperang secara terbuka dengan Israel kerana ia mampu meranapkan Iran dari pelbagai sudut terutamanya ekonomi kerana Iran sedang berdepan dengan pelbagai sekatan dan menyulitkan lagi kehidupan rakyat Iran.
Menyerang kepentingan-kepentingan Israel
Selepas insiden pembunuhan Mohsen Fakhrizadeh, telah mula kedengaran suara -suara dalam pentadbiran kerajaan Iran untuk meminta tindak balas terhadap Israel ke atas pembunuhan tersebut terutamanya daripada golongan konservatif.
Akhbar Kayhan yang merupakan suara golongan tersebut telah mendesak kerajaan Iran agar menyerang Haifa, pelabuhan utama Israel setelah banyak saintis terkorban akibat tindakan pembunuhan terancang Israel.
Malah dalam laporan yang sama turut menyebut bahawa tindakan balas Iran selepas pembunuhan Qasem Soleimani dan pembunuhan tentera elit, Tentera Revolusi Iran di Syria oleh Israel masih tidak berupaya menghalang Israel daripada menjadi ancaman kepada Iran.
Malah beberapa hari lalu, Iran berhubung terus dengan Putera Mahkota UAE Mohammed Bin Zayed Al Nahyan memberitahu akan bertindak balas dengan menyerang UAE jika Amerika Syarikat menyerang Iran.
Sejak dari pembunuhan Mohsen Fakhrizadeh, Israel mengarahkan kedutaannya di seluruh dunia diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan ancaman Iran untuk bertindak balas. Berdasarkan keadaan semasa serta jangkaan ramai penganalisa antarabangsa, jangkaan Iran untuk menyerang Israel kali ini adalah agak besar.
Memulakan serangan ke atas Israel
Mengikut laporan Akhbar The Atlantic pada 4 November, menteri-menteri kanan kerajaan Israel telah bermesyuarat dua kali dalam minggu ini membincangkan kemungkinan berlakunya perang terbuka dengan Iran.
Menurut laporan tersebut, Israel menyedari Iran merancang untuk menyerangnya menggunakan drone melalui Syria pada Ogos lalu tetapi dihentikan pada saat-saat terakhir setelah diserang tentera udara Israel.
Menteri-menteri kanan Israel juga dalam mesyuarat tersebut juga menilai serangan drone dan peluru berpandu Iran ke atas depoh simpanan minyak milik Arab Saudi baru-baru ini dan membuat kesimpulan Iran mungkin akan menyerang Israel menggunakan cara yang sama sama ada secara terus dari Iran mahupun dari Iraq.
Saat ini juga, pasukan pertahanan Israel telah mengaktifkan pelan kecemasan yang dinamakan Momentum, yang meluaskan pelan pertahanan peluru berpandu Israel, menilai data perisikan tentera musuh dan menyiapkan tenteranya untuk peperangan “urban warfare“.
Kemungkinan besar, Israel sudah menilai maklumat perisikan mereka bahawa Iran bersiap sedia untuk menyerang mereka dan sudah mempersiapkan dari segenap sudut untuk menangkis serangan Iran. Sehingga saat ini, Iran hanya mengeluarkan ancaman di seluruh saluran media namun tiada tanda jelas terdapat sebarang pergerakan ketenteraan.
Namun siapa tahu, dalam keadaan senyap Iran sebenarnya sudah bersiap sedia untuk menyerang Israel di mana jika benar ia berlaku, seluruh Asia Barat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung akan turut sama terheret dalam kancah peperangan tersebut.
Apa yang pasti, ketika ini keadaan cukup genting di Asia Barat, sedikit sahaja kesilapan yang dilakukan mampu mencetuskan peperangan yang ramai penganalisa berpendapat ia akan mengubah Asia Barat menjadi medan tempur maha dahsyat abad ini.
Ketika ini, kita sebagai umat Islam akan mampu menilai siapa sebenarnya musuh dan saudara, siapa pengkhianat dan siapa pendusta. Semoga kita semua terhindar dari sifat-sifat yang dibenci dan dilaknat serta berada dalam rahmat dan lindungan Allah SWT.
Moga umat dan Dunia Islam sedar betapa pentingnya perpaduan dan penyatuan demi untuk masa depan dan kesejahteraan umat dan Dunia Islam masa kini dan akan datang.
Islam Memperkukuh Perpaduan
YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 5/12/2020