Isu undang-undang, jangan jadikan sentimen kaum

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemimpin MIC Negeri Kedah dinasihatkan supaya akur dengan ketetapan undang-undang dan bertindak sebagai pemimpin untuk menyusun atur urusan rakyat, bukannya untuk menjadi juara atau mencari populariti.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berpesan demikian berhubung isu berbangkit mengenai pembinaan kuil yang tidak mengikut peraturan ditetapkan menerusi kebenaran khusus tapak ibadat bukan-Islam.

Jelas beliau, sebagaimana parti politik dan perlembagaannya perlu berdaftar serta diluluskan Pendaftar Pertubuhan (RoS) agar sah di sisi undang-undang, maka sesuatu tindakan juga tidak akan lulus jika melanggar peraturan ditetapkan.

- Advertisement -

“Sebahagian besar daripada pemimpin MIC pernah menjadi Senator, pernah menjadi Menteri, pernah menjadi pemimpin-pemimpin dalam negara ini, mereka tahu undang-undang,” ujarnya pada sidang media selepas mesyuarat mingguan di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

Katanya, orang politik yang mahu menjadi juara dan mencari populariti serta mengikut kehendak orang ramai dengan melanggar undang-undang, mereka itu tidak sepatutnya menjadi pemimpin rakyat.

Kerana menurut Sanusi, pemimpin di dalam politik sewajarnya boleh membimbing orang ramai patuh kepada peraturan, cinta kepada keamanan dan menyusun atur masyarakat agar teratur menurut sistem.

“Katalah masjid dan surau hanya boleh dibina bila dapat kelulusan Majlis Agama Islam. Tapaknya pun dapat kelulusan. Jumlah anak kariah yang sesuai untuk dibina sebuah masjid, semua ini diambil kira. Set (undang-undang) ini terpakai untuk penganut agama Islam.

“Kenapa penganut agama lain, saya tak khususkan siapa-siapa, dia boleh bina rumah ibadat di mana sahaja dia rasa nak bina. Di mana sahaja dia bermimpi patut dibuat satu rumah ibadat, dia pergi buat. Kenapa macam itu? Set undang-undang yang tidak sama?

“Jangan kata orang Islam yang tidak adil kalau kita sendiri yang tidak ada satu undang-undang untuk dipatuhi oleh semua orang. Saya kata jangan kata kita rasis, sebenarnya dia itu yang caca marba. Dia yang menghasut orang untuk melanggar undang-undang,” peringatnya.

Tegasnya, undang-undang juga adalah untuk mengekalkan keharmonian dan keamanan, selain mengingatkan pemimpin politik terbabit agar tidak membangkitkan sentimen perkauman. – HARAKAHDAILY 2/12/2020

- Advertisement -