Bina rumah ibadat perlu ikut peraturan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pembinaan rumah ibadat sama ada milik orang Islam atau bukan Islam di Kedah perlu mengikut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan pihak berkuasa.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, membina rumah ibadat termasuk surau dan masjid juga perlu menepati syarat seperti kesesuaian tapak, jumlah anak kariah dan diluluskan Majlis Agama Islam.

Begitu juga katanya pembinaan kuil di tempat yang tidak dibenarkan seperti pinggir jalan dan di kawasan tanah lapang bertentangan dengan peraturan.

- Advertisement -

“Sedangkan ada tempat yang dibenarkan melalui perancangan tapak ibadat bukan Islam.

“Bukannya suka hati atau berdasarkan mimpi atau sebagainya. Tidak kiralah mana-mana agama pun,” kata beliau sebagai mengulas isu berkenaan yang cuba dimainkan semula pemimpin MIC.

Bercakap selepas mesyurat Exco kerajaan negeri hari ini katanya, pemimpin MIC sama ada di Kedah atau di tempat lain diminta jangan cuba mencetuskan sentimen perkauman sekiranya mereka sendiri gagal mematuhi undang-undang.

Baru-baru ini, ada pemimpin politik membangkit semula isu robohan kuil di Alor Setar yang berlaku sebelum ini.

Oleh itu kata Sanusi, sewajarnya isu rasis dan perkauman sebegitu tidak dibangkitkan kerana apa yang berlaku adalah mereka bertindak tidak mengikut undang-undang.

Begitu juga katanya di bandar-bandar di mana terdapat undang-undang dari Kerajaan Tempatan yang perlu dipatuhi setiap orang.

“Nak tubuh parti politik pun kena ikut undang-undang, andai gagal mematuhi peraturan dan perlembagaan, parti itu tidak diluluskan dan mungkin diharamkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/12/2020

- Advertisement -