Kenapa berita selebriti agama sering disensasikan

- Advertisement -

APA niat ultra kiasu mensensasi berita selebriti agama ini? Belum reda lagi berita sensasi selebriti agama didakwa dan dituduh rogol, tiba-tiba muncul pula berita seorang lagi selebriti agama, didakwa terlibat dalam berkaitan seks, kes cabul. Laporan polis telah dibuat oleh mangsa. Namanya masih belum diketahui setakat ini.

Apapun seseorang itu yang dituduh itu, tidak bersalah, sehingga dibuktikan bersalah. Peliknya, kenapa media ultra kiasu yang sama, suka sangat mensensasikan berita-berita berkaitan dengan ‘orang agama’, sedangkan orang bukan bidang agama, selebriti bukan-Islam, tidak kurang banyaknya terlibat dalam perlakuan sensasi ini.

Seolah-olah ada perancangan untuk memburukkan imej Islam dengan mensensasikan berita-berita yang ada kaitan dengan selebriti yang kononnya ada agama. Secara tidak langsung, ini akan merosakkan orang Islam yang lain, bila ada yang berfikir, ‘kalau orang agama pun buat macam, aku yang kurang agama, lagilah boleh buat’.

- Advertisement -

Jika mereka ‘ada agama’, sudah tentu mereka tidak akan buat benda-benda macam itu. Sebab ‘tidak ada agamalah’, mereka terjebak, walaupun bergelar orang agama atau ustaz atau ustazah atau ada berlatar belakangnya agama.

Pada hal, tidak kurang, kadangkala, saban hari, orang agama yang bergelar paderi, ada sahaja yang ditangkap dan didakwa terlibat dalam kegiatan tidak bermoral berkaitan seks, terutama liwat. Itu baru betul ‘orang agama’. Kenapa media ultra kiasu buat diam sahaja?

Bila ada kaitan dengan agama mereka, berita disenyapkan. Tidak disensasikan. Tetapi bila berkaitan dengan ‘keburukan’ yang ditimbulkan oleh orang agama (Islam), disensasikan. Kena faham, selebriti yang terlibat dalam program realiti agama atau ustaz segera, tidak semesti mereka itu orang agama.

Definisi selebriti agama, perlu diberikan makna yang jelas. Bila masuk TV, bertanding dalam program realiti ‘agama’, boleh bawa ayat Quran dan Hadis sikit, maka sudah ada label selebriti agama. Wajah agama diberikan. Sedangkan, itu bukan medan sebenar untuk mencari orang agama.

Tidak dinafikan ada selebriti agama yang benar-benar beragama hasil daripada program realiti agama. Tetapi yang tidak menghayati agama, itu bukan orang agama. Label agama (Islam) terlalu mahal untuk diberikan kepada selebriti agama, atau dikenali dengan istilah, Budak Baru Nak Up (BBNU).

Lebih malang lagi, jika label Dai’ itu diberikan. Kalau label biasa-biasa, tidak mengapa lagi. Tetapi bila label atau disebut Dai’, itu ada masalah. Dai’ bermaksud pendakwah. Perkataan Dai’ dan dakwah, amat besar erti dan harga yang perlu dibayar.

Sudah sampainya masa program realiti agama diteliti oleh JAKIM atau Jabatan Agama, dengan mendalam selepas ini. Label-label seperti Dai’, eloklah tidak dipakai kepada seseorang itu. Cukup dengan nama individu sahaja.

Bukan apa, bila label yang berbunyi ‘Islamik’ digunakan, ditakuti akan mencemarkan imej Islam. Individu pada saya tidak penting, tetapi agama itu jauh lebih penting. Misalnya, jika saya bersalah, cukup dengan saya disabitkan, jangan dikaitkan dengan agama (Islam).

Jika seseorang individu, meskipun bergelar ustaz atau selebriti agama, terlibat dalam aktiviti tidak bermoral, individu itulah kena bertanggungjawab. Jangan dipalitkan agama bersama. Rosak imej agama kita.

Kepada media ultra kiasu yang selalu mensensasikan berita-berita selebriti agama, hentikanlah. Saya yakin pemberitanya majoriti orang Islam, tetapi bos atasnya adalah ultra kiasu. Saya cukup bimbang, perancangan ultra kiasu untuk merosakkan imej Islam, dengan mensensasikan berita yang ada kaitan dengan ‘orang agama’ atau selebriti agama.

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH – HARAKAHDAILY 1/12/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -