Kebal sungguh si penternak babi

SEMALAM saya menerima aduan dari seorang pemuda, meminta Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) turun melihat ladang ternakan babi di Bidor yang telah melakukan pencemaran teruk sungai yang kerap digunakan oleh penduduk kampung sekitarnya. Kampung sekitaran sungai tersebut didiami oleh kaum Melayu yang sememangnya begitu jijik dengan najis yang dilepaskan dari ladang babi tersebut. Sepertimana lazim, kumbahan dari ladang ternakan babi ini akan menyebabkan pencemaran sungai yang sangat serius sehingga sungai tersebut akan dikategorikan sebagai sungai mati.

Sebelum daripada ini, ketika saya berkunjung ke Pejabat Exco Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak, YB Ahmad Saidi Mohamad Daud, beliau telah melaporkan perkara yang sama selepas melakukan tinjauan ke kawasan tersebut. Beliau telah mengeluarkan arahan kepada penternak-penternak babi supaya tidak menyalurkan kumbahan ternakan mereka ke sungai. Sekiranya mereka berterusan bertindak menyalurkan kumbahan itu secara langsung ke sungai, beliau menegaskan tidak akan teragak-agak mengusulkan supaya kawasan tersebut ditutup.

Advertisement

Kadang-kadang kita merasa hairan mengapa penternak-penternak babi bukan hanya di Bidor, malah di seluruh negara memekakkan diri mereka bila rakyat sekitar bersuara membantah tindakan mereka mencemarkan alam sekitar khususnya sungai. Sebelum ini, saya pernah turun ke Sungai Kreh, Pulau Pinang, pada 23 Ogos 2020, meninjau sungai tersebut yang hampir 40 tahun dicemarkan oleh kumbahan ladang ternakan babi. Bukan sahaja sungai tersebut tidak dapat lagi menampung kehidupan, kawasan sawah perkampungan Melayu yang bergantung kepada sumber pengairan sungai tersebut juga kehilangan hasil yang besar.

Penduduk-penduduk yang menjadi mangsa kerakusan penternak-penternak babi tersebut sudah terlalu lama bersabar dan tidak mungkin kesabaran mereka itu tiada penghujungnya. Pelbagai cadangan telah dibuat untuk mengatasi masalah ini, termasuklah langkah perundangan. Di Pulau Pinang contohnya, pada tahun 2016 lagi telah diluluskan Enakmen Penternakan Babi yang mengkehendaki penternak babi beralih kepada cara moden dan tertutup. Dalam sidang DUN Pulau Pinang baru-baru ini, Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, YB Dr Norlela Ariffin melaporkan peraturan-peraturan berkaitan akan mula dikuatkuasakan tahun hadapan.

Tinggal tidak sampai sebulan lagi kita akan memasuki tahun hadapan, saya dilaporkan para penternak babi di Pulau Pinang masih belum membuat apa-apa persediaan ke arah mematuhi peraturan-peraturan di bawah enakmen yang telah digubal sebelum ini. Ketika saya turun meninjau perkampungan yang terjejas dengan pencemaran Sungai Kreh ini, tidak kelihatan langkah-langkah yang sedang diambil oleh penternak-perternak babi untuk beralih kepada cara moden dan tertutup. Setakat ini, saya lihat penguatkuasaan peraturan-peraturan baru penternakan babi di Pulau Pinang tidak dihiraukan oleh penternak-penternak.

Semasa PH menjadi kerajaan di Perak, Exco Kerajaan Negeri Perak ketika itu, YB A Sivanesan, menegaskan bahawa Perak akan sepenuhnya melaksana sistem penternakan babi moden menjelang akhir tahun depan (2019). Sistem tersebut menjanjikan ladang ternakan yang tertutup dan kumbahan sifar (zero discharge). Setelah berlalu tempoh tersebut iaitu akhir 2019, perubahan yang diharapkan tidak berlaku. Malah, seperti yang pernah diadukan, para penternak babi di Bidor tetap melaksanakan cara tradisional dan masalah pencemaran sungai terus menjadi buruk. Sebenarnya negara kita sudah mempunyai undang-undang yang memadai untuk tangani masalah ini, tetapi penternak babi terus kebal.

Insya-Allah, saya akan sekali lagi berkunjung ke Perak dalam tempoh terdekat, bekerjasama dengan Exco Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Jabatan Alam Sekitar Perak, mencari penyelesaian kes ini. 

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Setiausaha Politik kepada Menteri Alam Sekitar dan Air – HARAKAHDAILY 1/12/2020