COVID-19: Vaksin dan harapan

- Advertisement -

DI KALA tahun 2020 hampir melabuh tirai, dunia masih lagi bergelut hebat dengan virus Corona SARS-2, penyebab wabak COVID-19. Negara maju tidak terkecuali dari menerima kesan pandemik ini. United Kingdom mencatatkan jumlah kematian mencecah 60,000 orang dan di Amerika Syarikat, kematian melepasi angka 200 ribu. Manakala jumlah kematian penduduk dunia akibat wabak ini, kini menghampiri 1.5 juta orang. 

Harapan yang besar diletakkan terhadap pembangunan vaksin bagi membendung wabak ini dari terus merebak. Hampir mustahil bagi vaksin yang selamat, mempunyai tahap keberkesanan yang tinggi, berharga rendah dan mampu dihasilkan dalam kuantiti yang cukup bagi menampung jumlah penduduk dunia, dapat dibangunkan dalam masa yang singkat. 

Dalam perlumbaan melawan masa, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyenaraikan 48 calon vaksin bagi virus Corona SARS-2 yang kini sedang berada di peringkat uji kaji klinikal yang berbeza. Manakala lebih dari 160 calon lagi di tahap ujian pra-klinikal. Namun jangkaan mudah, 9 dari 10 calon vaksin yang dibangunkan tidak akan berjaya melepasi ujian klinikal akhir yang sangat ketat bagi menjamin keselamatan dan keberkesanan vaksin yang dihasilkan. 

- Advertisement -

Antara calon vaksin yang disebut-sebut adalah vaksin yang dibangunkan oleh BioNTech/Fosun Pharma/Pfizer (Pfizer). Uji kaji klinikal tahap akhir (tahap ketiga) terhadap vaksin ini masih lagi berjalan di Amerika Syarikat dengan melibatkan hampir 45,000 peserta. 

Vaksin ini menggunapakai sebahagian maklumat kod genetik (RNA) virus Corona SARS-2. Tujuannya adalah bagi melatih sistem pertahanan badan kita untuk mengenali dan mengingati virus ini melalui kod genetik virus yang diperkenalkan melalui vaksin yang diberi. Dengan itu sistem pertahanan badan kita akan bersiap sedia bagi melawan virus sebenar apabila berlaku jangkitan. Keadaan yang sama berlaku apabila seseorang terdedah kepada agen jangkitan buat pertama kali. Sistem pertahanan badan bukan sahaja berusaha untuk memusnahkan agen jangkitan tersebut, malahan juga akan mengingati agen ini bagi membendung jangkitan yang sama berulang di masa akan datang. Ini adalah salah satu tanda kehebatan Allah dalam mencipta sistem pertahanan badan kita yang sangat kompleks dan sempurna. 

Seperti Pfizer, strategi pembangunan vaksin yang hampir sama digunapakai oleh Moderna/NIAID (Moderna). Vaksin ini sedang melalui uji kaji klinikal tahap ketiga di Amerika Syarikat dengan melibatkan 30,000 peserta berusia 18 tahun dan ke atas. 

Sedikit berbeza strategi vaksin yang digunapakai oleh University of Oxford/AstraZeneca (Oxford). Vaksin jenis ini dibina menggunakan virus yang telah diubahsuai sebagai vektor yang tidak berjangkit dan dalam masa yang sama membawa sebahagian maklumat genetik virus Corona SARS-2. Tujuannya tetap sama iaitu untuk melatih sistem pertahanan badan mengenali agen jangkitan melalui sebahagian maklumat genetik virus yang diperkenalkan melalui vaksin, seterusnya mempersiapkannya untuk jangkitan sebenar. Vaksin ini menyasarkan lebih dari 50,000 orang peserta bagi ujian klinikal tahap ketiganya yang diuji di enam buah negara. 

Selain dari strategi yang disebutkan di atas, terdapat juga vaksin yang dibangunkan menggunapakai virus yang dinyah-aktif (inactived virus) seperti yang diusahakan oleh Sinovac dan Wuhan Institute of Biological Products/Sinopharm. 

Tidak menjadi pertikaian, strategi pembangunan vaksin yang mana yang akan menjuarai perlumbaan melawan masa ini. Apa yang diperlukan oleh penduduk dunia adalah vaksin yang dibuktikan selamat dan berkesan melindungi dari jangkitan virus Corona SARS-2.

Bagaimanapun, mana-mana vaksin yang berjaya memperolehi kelulusan untuk dipasarkan dalam masa terdekat, akan berdepan dengan cabaran bagi menghasilkan dos yang mencukupi di tahap awal penghasilan. Dengan itu keutamaan akan diberikan kepada golongan yang berisiko tinggi mendapat jangkitan. 

Dalam erti kata lain, keupayaan sesebuah negara menyediakan dos vaksin bagi meliputi 60-70 peratus jumlah penduduknya akan mengambil masa. Peratusan ini penting untuk menjana immuniti kelompok (herd immunity) bagi membendung penyebaran wabak. Kerana itu kita belum boleh menarik nafas lega namun, tidak bererti kita perlu berputus harap. 

Kita sentiasa mempunyai sebaik-baik tempat bergantung walau di mana kita berada. Berusaha untuk mematuhi SOP sebaiknya, berdoa, kemudian berserahlah kepada Allah yang kekuasaanNya merentasi segala upaya. 

DR. HANI’AH ABDULLAH
Anti-infective virologist 
Alderley Park. 

Rujukan utama;
WHO – DRAFT landscape of COVID-19 candidate vaccines – HARAKAHDAILY 1/12/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -