13 undian tewas dengan suara majoriti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 diluluskan dengan lebih suara bersetuju pada persidangan Dewan Rakyat hari ini dari sokongan majoriti ahli Parlimen.

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata, walaupun terdapat 13 undian daripada ahli Parlimen pambangkang yang cuba memohon undi secara belah bahagi namun tewas dan gagal menolak undian suara majoriti.

- Advertisement -

“Penggulungan Perbahasan Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz menggambarkan kehebatan dan penguasaan beliau terhadap selok belok ekonomi serta mahir dalam sudut kewangan,” kata Ustaz Idris kepada Harakahdaily.

Bekas ahli Parlimen Bukit Gantang itu juga melihat kebolehan Zafrul yang tenang ketika menjawab semua perkara ketika sesi penggulungan adalah berfakta dan data.

Bagaimanapun katanya, beliau yakin dan percaya sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan pasti seluruh rakyat Malaysia akan menentang habis-habisan terhadap tindakan parti pembangkang kerana menolak Belanjawan 2021.

Terdahulu, Menteri Kewangan membentangkan penggulungan RUU Perbekalan 2021 untuk bacaan kali kedua kira-kira sejam sebelum proses undian bagi meluluskan RUU yang mengandungi Belanjawan 2021 itu.

Kelulusan RUU berkenaan akan membolehkan kerajaan menggunakan dana di bawah Kumpulan Wang Disatukan untuk tujuan perbelanjaan negara bagi tahun depan.

Sebelum ini, Belanjawan 2021 dibentang Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lalu dan seramai 82 ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan yang berlangsung dari 9 hingga 19 November. – HARAKAHDAILY 26/11/2020

- Advertisement -