Program i-sinar diperluas kepada 8 juta pencarum

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Program i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan diperluaskan kepada semua ahli yang terjejas pendapatan, kata Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Katanya, pencarum yang hilang pekerjaan atau terjejas pendapatan pada tahun ini layak memohon untuk membuat pengeluaran dari Akaun 1.

- Advertisement -

“Pekerja sektor formal atau bekerja sendiri, tanpa mengira ahli aktif mencarum atau tidak selagi terjejas pendapatan dengan ketara bolehlah mengeluarkan simpanan dari Akaun 1 KWSP,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Zafrul berkata, i-Sinar kini dibuka kepada lebih lapan juta ahli berbanding hanya dua juta ahli yang layak sebelum ini.

Malahan katanya, setiap ahli yang sebelum ini dibenarkan mengeluarkan sehingga RM9,000, kini dibenarkan sehingga RM10,000 dengan hanya perlu memohon di dalam talian atau hadir di mana-mana pejabat KWSP.

“Tunjukkan sahaja bukti mengenai kehilangan pekerjaan, notis cuti tanpa gaji, potongan gaji, elaun atau OT mahupun pengurangan pendapatan jika bekerja sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/11/2020

- Advertisement -