Pelik bila Muslim yang bantah larangan arak

- Advertisement -

ARAK lagi, hak apa, kebebasan agama apa, bercanggah dengan Perlembagaan mana? Samanlah… Sikit punya jahil orang sebegini. Jika dibuat survey, ramai bukan-Islam yang tidak minum daripada minum. Takut-takut nanti yang ramai minum adalah orang Islam sendiri. Ini yang membimbangkan.

Ramai ahli keluarga saya dan saudara mara bukan-Islam yang tidak minum. Yang beriya-iya kita pertahankan atas nama hak ini, pasal apa. Hak apa yang kamu perkatakan ini, ultra kiasu Melayu (Islam)? Memalukan agama dan bangsa… 

Cukup-cukup, biarkan bukan-Islam yang menentang, pasal apa kita yang Islam nak jadi jaguh pembela arak. Pemimpin MIC Wilayah Persekutuan yang bukan Islam pun menyokong agar penjualan arak dikawal, peliknya hak Melayu Islam pula kata, rasuah lebih merosakkan negara daripada arak. 

- Advertisement -

Ada pemimpin tua kononnya bersifat amanah kata bercanggah dengan Perlembagaan. Kalau begitu, samanlah. Jadilah peguam, wakilkan diri. Bertaubatlah! Usia pun bukan muda lagi. Takut tak sempat. 

Apa kaitan antara rasuah dengan arak? Saya naik malu dengan MIC. Bila bukan-Islam sokong perlu dihadkan jualan, manakala yang Islam bukan main lagi menentang, sehingga membuat analogi tidak masuk akal. 

Kalau tidak dapat banteras semua, kita banteras satu-satu, tetapi jangan kata rasuah lebih teruk daripada arak. Seolah-olah kita fokus rasuah, arak dibiarkan dahulu. Kenapa tidak banteras kesemua sekali gus jika mampu. 

Lagipun bukan kerajaan nak mengharamkan langsung, cuma menghadkan sahaja. Ayat senang macam ini pun tak faham, nak memimpin rakyat macam mana. 

Peraturan atau larangan ini terpakai di negara seluruh dunia. Baca artikel saya sebelum ini, negara-negara maju begitu ketat menghadkan penjualan arak kerana mudaratnya. Kita nak terlebih Barat pasal apa?

Perbuatan rasuah yang berlaku masih dalam keadaan rasional, yakni manusia masih boleh berfikir dengan waras. Tetapi mabuk arak tidak lagi membawa manusia berfikir secara rasional. Seseorang itu sudah tidak menjadi waras di bawah pengaruh arak atau alkohol. Sebab itu, rasuah haram dan arak pun haram.

Kalau tak nampak ayat mengenai pengharaman arak, saya bawakan sekali lagi. Ayat pertama diturunkan dari Surah al-Baqarah ayat 219:

“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya…”

Begitu juga dalam ayat 43 dari Surah al-Nisa’ dan ayat 90 dari Surah al-Maidah. 

Dalam agama Hindu pula, rujuk Rigveda buku 8 hymn 2 ayat 12, Rigveda buku 8 hymn 21 ayat 14, Athravaveda 6: 70: 1, kitab Manusmriti 7: 47-50, Manusmriti: 11: 55, Manusmriti 11: 91, dan dalam kitab Manusmriti juga melarang menjual arak dalam Manusmriti 9: 225.

Terdapat beberapa ayat Al-Kitab yang melarang manusia minum arak di dalam konteks yang tertentu, tetapi bukan secara keseluruhan untuk semua orang. Rujuk (Imamat 10:9; Bilangan 6:3; Hakim-hakim 13:4,7,14; 1 Samuel 1:15; Amsal 20:1; 31:4,6; Yesaya 5:11,22; 24:9; 28:7; 29:9; 56:12; Mikha 2:11; Lukas 1:15).

Mungkin dalam masyarakat Cina agak longgar sedikit, sebab konteks agama orang Cina yang khalayak fahami lebih kepada ajaran dan kepercayaan. Dalam kata lain, Buddha, Taoism, dan Konfucianisme, bukan agama, tetapi ajaran atau kepercayaan. 

Saya tujukan juga kepada pemimpin parti mendakwa dirinya amanah, yang dah tua juga. Sejak bila pula arak menjadi hak orang bukan-Islam. Mabuk arak boleh membawa mudarat yang lebih besar, termasuk pembunuhan jika tidak terkawal. Apakah ultra kiasu sudah rabun dengan dengan kemalangan yang berlaku akibat mabuk arak? 

Satu lagi, jika masih jahil, ketagihan arak adalah juga punca keluarga bukan-Melayu bercerai berai. Banyak kali berlaku anak-anak dan isteri dipukul ketika suami tengah mabuk. 

Lebih serius lagi, ketagihan arak lebih serius dengan bilangan yang semakin meningkat dalam kalangan anak-anak muda. Arak juga salah satu faktor peningkatan kes kanser hati dan nasopharyngeal di negara ini.

Dalam kata lain, arak sebenarnya mengundang kepada keganasan rumah tangga. Tidak ada kebaikan meminum arak sama ada untuk kesihatan atau kekeluargaan. Arak bukan budaya masyarakat negara ini. Tak faham lagi. Ultra kiasu ini juga menyifatkan kenyataan kita campur tangan dalam urusan orang bukan-Islam, apabila menghadkan jualan arak. 

Sejak bila arak menjadi hak bukan-Islam? Sebutkan pada saya, agama bukan-Islam mana yang menggalakkan arak walaupun tidak mengharamkan sepenuhnya seperti ayat yang saya bawa di atas?

Kata ultra kiasu tua jahil ini lagi, orang bukan-Islam sering diberi jaminan bahawa mereka tidak akan dikenakan peraturan yang berkaitan dengan Islam dan urusan Islam, termasuk isu Hudud. Sejak bila pula kita mahukan kenakan hukuman Islam terhadap bukan-Islam

Larangan arak ini bukan sahaja berkaitan dengan Islam, tetapi agama orang bukan-Islam. Kenapa ada orang sebegini jahil sedangkan bila ditanyakan, dia mengaku Islam

Katanya lagi, orang bukan-Islam diberitahu bahawa mereka boleh mengambil makanan tidak halal selagi agama mereka mengizinkan. Ada pernah kita larang mereka makan babi, anjing, ular, kura-kura, tikus dan sebagainya. Cuma, bila tiba bab arak, kena hati-hati sebab ia memabukkan, sama macam dadah.

Cuma, dalam isu arak. Jika benarlah, agama mereka menghalalkan, minumlah, minumlah sampai pecah perut pun. Tetapi jangan melibatkan orang lain. Masalahnya arak ini yang menjadi punca kejahatan sehingga menimbulkan banyak masalah sosial.

Benar rasuah itu bahaya, tetapi arak juga bahaya. Mana lebih bahaya, jika kita tidak bodoh, arak lebih bahaya sebab melibatkan nyawa diri dan orang lain. 

Rasuah tidak melibatkan nyawa orang lain, tetapi boleh meruntuhkan negara. Mana lebih bahaya, setiap perkara ada bahayanya tersendiri. Memang totollah kalau dibandingkan. Nasihat saya kepada ultra kiasu tua ini yang kononnya mengaku mewakili tentera dan pemimpin parti yang mendakwa dirinya amanah:

Pertama, bertaubatlah sementara pintu taubat masih terbuka. Takut tertutup nanti.

Kedua, bentanglah tikar sembahyang. Dekatkan diri dengan Tuhan. Masa mungkin tidak lama lagi. 

Ketiga, bukan-Islam menentang arak hari ini, kerana ekonomi semata-mata. Kekayaan yang dijana hasil daripada jualan arak. Tauke kedai arak pun tidak minum arak. Saya ada pengalaman jual arak sebelum Islam dahulu.

Keempat, jangan malukan agama Islam, kerana perbuatan diri sendiri. Jika MIC pun sokong perlu dihadkan, kita nak berlebih-lebih pasal apa?

Akhirnya, masalah arak ini dan larangannya, isu global, bukan sensitif dengan agama Islam sahaja. Selama ini, kita jual arak 24 jam tanpa henti, sedangkan negara bukan-Islam yang lain, ada had dan peraturan yang ketat. Kenapa perlu jadi lebih Barat daripada Barat sehingga menjadi keparat. 

Satu lagi pesan saya kepada pemimpin NGO dan pemimpin parti politik yang kononnya ada sifat amanah ini, jangan kita samakan upacara keagamaan bukan-Islam sebagai majlis mabuk. Adakah pemimpin ultra kiasu ini cuba menghina amalan keagamaan bukan-Islam dengan mendakwa pengawalan kepada jualan arak melanggar kebebasan beragama?

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH – HARAKAHDAILY 23/11/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -