Menantu bekas PM Singapura digantung lesen guaman

- Advertisement -

SINGAPURA: Lesen amalan guaman menantu perempuan Lee Kuan Yew iaitu Lee Suet Fern telah digantung selama 15 bulan selepas beliau didapati bersalah atas pertuduhan salah laku profesional dalam mengendalikan wasiat terakhir Perdana Menteri Pengasas Singapura itu.

Penghakiman bertulis Mahkamah Tiga Hakim itu, yang merupakan badan disiplin tertinggi bagi menangani isu salah laku peguam, disampaikan Hakim Besar Sundaresh Menon hari ini yang bersidang bersama-sama Hakim Rayuan Judith Prakash dan Hakim Woo Bih Li.

Perbicaraan tatatertib terhadap Suet Fern bermula pada Ogos lepas dan permohonan bagi prosiding itu dikemukakan oleh Persatuan Guaman Singapura.

- Advertisement -

Permohonan itu berkisar tentang pembabitan Suet Fern, terutama pada 16 dan 17 Disember 2013, dalam penyediaan serta pelaksanaan wasiat terakhir Kuan Yew.

Sebelum itu, Kuan Yew telah membuat enam wasiat antara 20 Ogos 2011 dan 2 November 2012 yang disediakan peguamnya, Kwa Kim Li.
 
Beberapa perubahan utama dalam kesemua wasiat ialah sama ada harta Kuan Yew akan dibahagikan sama rata atau tidak kepada tiga anaknya iaitu Lee Hsien Loong, Dr Lee Wei Ling dan suami Suet Fern, Lee Hsien Yang.

Mengikut wasiat pertama, harta Kuan Yew dibahagikan sama rata kepada tiga anaknya manakala wasiat keenam pula menyaksikan anak perempuan mendiang iaitu Dr Wei Ling diberikan tambahan 1/7 bahagian berbanding dua saudara lelakinya.

Antara tempoh 29 November 2013 hingga 13 Disember 2013, Kuan Yew telah berbincang dengan Kwa mengenai beberapa perubahan yang ingin dilakukannya dalam wasiat keenam.

Mendiang telah menyatakan hasrat untuk melaksanakan kodisil dalam wasiat keenam iaitu kembali kepada pembahagian harta secara sama rata kepada anak-anaknya dan menyatakan bahawa dua helai permaidani diberikan kepada Hsien Yang.

Panel Mahkamah Tiga Hakim juga memutuskan bahawa perbincangan Kuan Yew dengan Kwa bukanlah bertujuan untuk menggantikan wasiat keenam dengan wasiat lain, atau mengembalikan wasiat pertama. – BERNAMA

- Advertisement -