Pemerintahan PAS terajui pentadbiran contoh

- Advertisement -

PEMERINTAHAN kerajaan yang ditadbir oleh PAS sentiasa menjadi peneraju hal ehwal kebajikan rakyat di mana pelaksanaannya telah menjadi sejarah penting serta dicontohi pula di negeri lain, bahkan hingga ke peringkat Persekutuan.

Jika selama ini Kerajaan Negeri Kelantan memimpin pelaksanaan cuti bersalin, cuti untuk isteri kematian suami, bantuan kewangan untuk golongan miskin, armalah, anak yatim, warga emas dan pemimpin keagamaan. Kini, langkah seumpama telah meluas dipolisikan pihak kerajaan lain, bahkan swasta.

Terkini, Kerajaan Negeri Kedah dan Kerajaan Negeri Terengganu yang juga dipimpin PAS merintis lagi inisiatif-inisiatif diharap bakal diikuti pihak lain akan datang. 

- Advertisement -

Kedah telah mengumumkan Kawasan Bebas Berniaga dalam usaha menangani impak ekonomi dihadapi rakyat dalam era mencabar COVID-19 kini. Inisiatif itu diperluaskan di seluruh negeri itu untuk tempoh setahun dan percuma pula. Ia benar-benar sangat membumi atas realiti sedang dihadapi rakyat ketika ini. Kedengarannya, inisiatif ini menjadi minat banyak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri lain untuk turut melaksanakannya.

Terengganu pula semalam mengumumkan kelulusan pemberian pencen bulanan RM50 kepada warga emas di negeri itu yang tidak mempunyai pencen atau bantuan daripada pihak lain. Ia bukan sahaja satu bentuk kebajikan, bahkan penghargaan sebagaimana pernah dibuat pemerintahan Saidina Umar al-Khattab.

Saya berharap, usaha dilaksanakan kepada rakyat seumpama ini menjadi budi yang diteladani pihak-pihak berkemampuan baik syarikat mahupun individu untuk kita meluaskan khairiah. Kita harus percaya bahawa kebaikan sesama insan ini selari dengan sifat Penyayang Allah S.W.T. 

Kita berharap, dengan amalan kecil seumpama inilah akan menjadi asbab Allah mengangkat kebimbangan dan ketakutan kita atas COVID-19 yang melanda dunia kini dan kita semua diselamatkan dari segala malapetaka.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

“Memimpin Negara”

IR. TS. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 20/11/2020

- Advertisement -