Kerajaan Pahang dipohon tambah Sekolah Agama Negeri

- Advertisement -

KUANTAN: Sebuah lagi Sekolah Agama Kerajaan Negeri Pahang perlu dibina khususnya di daerah Kuantan memandangkan permohonan kemasukan yang semakin meningkat tetapi ruang kekal terhad.

- Advertisement -

Ustaz Zuridan Mohd Daud (PAS-Damak) berkata, makin ramai dalam kalangan anak negeri Pahang yang tidak dapat menyambung pelajaran di sekolah-sekolah menengah agama dalam negeri ketika ini.

“Saya berpendapat Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang yang bilangannya sekitar 18 buah ini telah memberikan satu impak dan juga memberikan kesan yang sangat positif kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana sekolah-sekolah ini lah yang telah berjaya melahirkan sebilangan kepimpinan yang ada hari ini.

“Saya juga berharap agar Kerajaan Negeri dapat mempertingkatkan lagi dari sudut prasarana dan juga kursus-kursus yang boleh meningkatkan lagi kualiti guru,” katanya semasa membahaskan Belanjawan 2021 Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini semalam.

Selain itu, Zuridan juga memohon agar Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Negeri Pahang (MUIP) memudahkan urusan pendaftaran madrasah dan tahfiz yang belum berdaftar, kerana pihak ini sedang berusaha untuk memenuhi spesifikasi ditetapkan pihak bomba dan keselamatan berkaitan.

“Di sinilah iaitu di tahfiz dan madrasah adanya para ulamak, guru-guru, pelajar-pelajar hafiz yang mana dengan izin Allah S.W.T dengan doa daripada mereka negeri Pahang ini akan menjadi negeri yang terus makmur dan diberkati oleh Allah SWT,” ujarnya.

Harapan itu dinyatakan beliau berikutan pembentangan belanjawan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Isnin lepas mengumumkan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) dengan memperuntukkan RM1 juta untuk maahad tahfiz yang berdaftar dengan MUIP.

Berdasarkan kepada rekod, terdapat 164 sekolah tahfiz dan madrasah seluruh negeri Pahang, manakala yang telah berdaftar dengan MUIP adalah 89 buah dan yang tidak berdaftar ialah 75 buah.

Ini kata Ustaz Zuridan yang juga Ketua Ulamak PAS Pahang, bukan sahaja memberikan gambaran bahawa negeri Pahang ini subur dari sudut sumber alam dan ekonomi, tetapi juga subur dari sudut modal insannya.

Bahkan difahamkan beliau, berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi, daerah Kuantan adalah daerah yang terbanyak sekolah tahfiznya, manakala yang keduanya ialah daerah Jerantut 13 buah. – HARAKAHDAILY 20/11/2020

- Advertisement -