Islam gariskan tatacara wanita terlibat dalam politik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Politik adalah sebahagian kehidupan manusia di mana kehidupan yang diciptakan Allah S.W.T ini mempunyai tuntutan untuk menjadi ibadah ke atas setiap individu Mukmin.

- Advertisement -

Demikian mesej dibawakan Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh dalam webinar Media Hawa terbitan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan yang diadakan kelmarin.

Manakala parti politik jelasnya, adalah alat yang ibarat kenderaan dengan menggabungkan individu-individu cakna politik dalam kumpulan tertentu bagi mencapai sesuatu matlamat itu.

Dalam konteks parti Islam terang beliau, politiknya mestilah bertepatan sebagaimana ayat 2 surah al-Maidah iaitu bertolongan dalam perkara kebaikan dan takwa, bukannya perkara dosa dan permusuhan.

Sehubungan itu tegasnya, politik tidak terpisah dari kehidupan dan agama Islam itu sendiri di mana mempunyai matlamat untuk dicapai dalam penglibatan iaitulah hakikat untuk menggapai keredhaan Allah.

“Soal politik dan pemerintahan Islam itu memang ada dalam Islam. Andai kita telusuri sejarah Nabi Muhammad S.A.W, Baginda bukan semata seorang ketua dalam urusan agama tetapi, Baginda juga merupakan pemimpin negara Islam yang pertama di bumi Madinah.

“Maka apa yang bersangkut paut dengan Baginda sewajarnya menjadi contoh teladan kepada kita. (Maka) Sangat boleh untuk jadikan politik ini sebagai saluran untuk mencapai redha Allah.

“Pertama, niat berpolitik mesti kerana Allah S.W.T. Kedua, kerja-kerja yang dilakukan itu juga mesti diizinkan dalam ruang lingkup agama Allah S.W.T. Berakhlak dan bergaul juga mesti dalam batas tatacara Islam itu sendiri.

“Dan ketiga, jangan sampai meninggalkan ibadah fardu yang wajib ditunaikan,” ujarnya memberi pedoman agar ruang lingkup berpolitik benar-benar menjadi ibadah dan bermatlamatkan Mardhatillah.

Ustazah Nuridah turut mengupas betapa tiada halangan untuk kaum wanita melibatkan diri di lapangan politik selagi memenuhi tatacara atau garis panduan harus dipatuhi sebagaimana urusan kehidupan lain.

“Setelah Allah ciptakan alam buana, Allah datangkan kehidupan manusia atas muka bumi ini. Kemudian Allah tidak biarkan manusia itu sendirian tanpa garis panduan.

“Sebab itu tidak pelik mengapa manusia pertama yang dicipta menurut ajaran Islam adalah dari kalangan Nabi yakni Nabi Adam. Dimana antara tugas Nabi-Nabi itu adalah untuk membawa berita mahupun khabar-khabar dari Allah S.W.T buat umat manusia.

“Antara yang dititik beratkan oleh Islam bagi penglibatan dalam dunia politik adalah kita mesti memastikan tatacara mahupun akhlak dalam menguruskan segala gerak kerja itu berada dalam kerangka yang diizinkan oleh Allah S.W.T,” ujar beliau.

Antaranya terang beliau adalah menjaga dari sudut pergaulan sesama ajnabi, menitik beratkan perihal pakaian mengikut syarak dan pergerakannya bagi urusan di luar rumah itu mesti sentiasa mendapat keizinan suami, di samping tidak mengabaikan urusan rumah tangga.

Beliau yang sudah 38 tahun terlibat dalam gerak kerja politik Islam di tanah air ini juga sangat menegaskan agar keterlibatan dalam gerak kerja politik mestilah tidak hingga meninggalkan ibadah fardu ditetapkan Allah S.W.T. – HARAKAHDAILY 12/10/2020

- Advertisement -