Guru PASTI disah kanser diberi sokongan moral

PAYA BESAR: Muslimat PAS Kawasan Paya Besar telah berkunjung menziarahi Guru PASTI As-Salam, Arfah Affandi, 40 yang disahkan menghidap kanser awal September lalu di kediamannya di Taman Tas, di sini hari ini.

Advertisement

Lawatan Muslimat PAS Paya Besar ini dipimpin Ketua Muslimat, Ustazah Norzilah Hussain dengan disertai Ketua Penerangan, Ustazah Rosmawati Bukhari yang juga isteri ADUN Panching, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya.

Bersama juga Pengerusi Lajnah Kebajikan, Sabariah Muda dan Ahli Jawatankuasa lainnya, ziarah ini bertujuan memberi sokongan moral kepada amilin yang aktif serta mempunyai lima anak berusia 16 tahun hingga 18 bulan.

Sempena kunjungan ini juga, pihak rombongan Muslimat PAS Paya Besar telah menyampaikan sumbangan kewangan dari Tabung Prihatin Rakyat DUN Panching buat Arfah yang akan menjalani pembedahan 20 Oktober nanti.

Selain memberi kata-kata semangat, Ustazah Norzilah juga mengetuai bacaan doa memohon kesembuhan dan dipermudahkan urusan Arfah hingga menyaksikan ada kalangan yang hadir menitiskan air mata.

Berkongsi ceritanya, Arfah menerima dengan tabah apabila disahkan positif kanser, namun tetap menitiskan air mata apabila memikirkan anaknya yang berusia 18 bulan itu terpaksa diberhentikan penyusuannya.

“Kita berharap Allah memberi kesembuhan sepenuhnya kepada beliau dan kesabaran, juga keluarganya terutama suami untuk menghadapi ujian ini,” ujar Ustazah Norzilah. – HARAKAHDAILY 12/10/2020